Berita KPWKM

PROGRAM KOMUNITI PERWANI 1MALAYSIA PERANCIS DILANCARKAN
PARIS, 19 SEPTEMBER – Komuniti PERWANI 1Malaysia Perancis telah dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia (KBM), Perancis. Komuniti PERWANI 1Malaysia Paris ditubuhkan pada 17 September 2016 merupakan Komuniti PERWANI kedua di luar negara selepas di United Kingdom. Komuniti PERWANI Paris ini mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana terbahagi dua (2) kumpulan iaitu PERWANI Perwakilan Paris dan PERWANI MASAF (Malaysia Students Association in France). PERWANI Perwakilan Paris terdiri daripada 20 orang perwakilan wanita dan isteri perwakilan di Paris dan PERWANI MASAF (Malaysia Students Association in France) terdiri daripada 13 orang PERWANI siswi yang berperanan untuk membantu mempromosi dan meningkatkan nama baik Malaysia dalam pelbagai aspek dengan mengadakan atau menyertai program pendidikan, sosial, kesukanan yang akan dianjurkan dari semasa ke semasa. YB Dato’ Sri Rohani dalam ucapan beliau berkata “Sehingga 6 September 2016, sebanyak 12,921 kumpulan Komuniti PERWANI 1Malaysia telah ditubuhkan di seluruh Malaysia dengan keanggotaan seramai 169,555 orang wanita rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 hingga 20 orang”.

Beliau turut berharap agar Malaysian Association in France (MAF) dapat menubuhkan PERWANI Diaspora dan membantu dalam mengembangkan ahli PERWANI di seluruh Paris terutama kepada para belia dan pelajar untuk memupuk sifat kesukarelawan dan memberi peluang kepada mereka untuk bertindak sebagai agen transformasi di peringkat komuniti. Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Malaysian Assiociation in France, para pelajar Malaysia di Paris, dan pegawai-pegawai wanita di Kedutaan Besar Malaysia Paris.

Lain-lain Berita KPWKM