| Penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita
dan Keluarga adalah manifestasi pelaksanaan
iltizam negara yang dibuat di Persidangan
Sedunia Keempat Wanita di Beijing pada tahun
1995 seperti yang terkandung dalam dokumen
Landasan Tindakan bagi memajukan wanita ke
tahun 2000, iaitu :
"Pewujudan
sebuah Kementerian yang lengkap menggambarkan
komitmen Kerajaan yang tinggi untuk meningkatkan
martabat wanita di negara ini"
Penubuhan Kementerian Hal Ehwal Wanita telah
diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 17
Januari 2001. Fungsi Kementerian kemudiannya
telah diperluaskan dan ditukar namanya kepada
Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga
(KPWK) mulai 15 Februari 2001. Sehubungan
itu, Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
telah diletakkan di bawah Kementerian. HAWA
kemudiannya distruktur semula dan dikenali
sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Selepas Pilihan Raya Umum Kesebelas pada
bulan Mac 2004, fungsi dan tanggungjawab KPWK
telah diperluaskan lagi. Pada 27 Mac 2004
fungsi Pembangunan Masyarakat dan Kementerian
Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat
telah dibubarkan, dan telah dipindahkan ke
KPWK. Selaras dengan pertubuhan tersebut,
KPWK telah ditukar nama menjadi Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM).
Dengan penstrukturan baru ini, Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM) mempunyai empat (4) buah agensi di
bawah pentadbirannya iaitu :
- Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)
- Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
(JKMM)
- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga
Negara (LPPKN)
- Institut Sosial Malaysia (ISM)
Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NIEW) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Julai 2006 di bawah KPWKM selepas Malaysia diberi mandat untuk menubuhkan sebuah institusi untuk wanita dari kalangan negara-negara Anggota NAM. KPWKM dipimpin oleh Y.B. Dato' Sri Shahrizat
Abdul Jalil (2001 - Februari 2008) sebagai menteri yang bertanggungjawab
untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap
pentingnya peranan golongan wanita dan institusi
kekeluargaan untuk mencapai agenda pembangunan
negara. Masyarakat juga diberi kesedaran dan
bimbingan dalam aspek pembangunan sosial terutamanya
kebajikan masyarakat, bagi mencapai matlamat
ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dan
masyarakat maju selaras dengan Wawasan 2020.
Pada masa ini, KPWKM diterajui semula oleh Y.B. Senator Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil. Manakala Y.B. Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri. |