JKM perlu cari alternatif sedarkan penerima bantuan
MELAKA 20 Dis. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mencari alternatif untuk membuka mata penerima bantuan supaya tidak terlalu bergantung dengan bantuan kerajaan sehingga menyebabkan mereka enggan berdikari.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ayer Molek, Datuk Md. Yunos Husin berkata, sebelum ini pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan JKM bertujuan meringankan beban mereka yang layak.
Menurut beliau, bantuan berterusan itu tidak boleh dianggap sebagai keistimewaan yang akhirnya mengakibatkan mereka terus berharap kepada kerajaan.
"Saya harap JKM dapat menyelitkan kata-kata motivasi terutama kepada penerima bantuan yang masih muda dan bertenaga agar mereka berusaha mendapatkan pendapatan sendiri selain bantuan diberikan JKM.
"Mana tahu, motivasi ini akan dapat menyuntik semangat mereka mengubah nasib hidup atau mungkin mereka ingin berubah, tetapi tiada penerangan diberikan atau tidak tahu di mana harus memulakannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bulanan JKM kepada 200 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Molek di sini semalam.
Tambah Md. Yunos, sebagai contoh, JKM boleh bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan dalam memberikan kursus atau penerangan kepada golongan tersebut yang berminat.
"Jadi ia tidaklah jadi program serahkan bantuan semata-mata tetapi diselitkan dengan maklumat-maklumat yang berkaitan yang dapat mengubah hidup mereka," katanya.
Dalam perkembangan sama, Md. Yunos berkata, sehingga bulan lalu 576 penduduk kurang bernasib baik di DUN itu menerima bantuan bulanan daripada JKM.
Menurut beliau, ia membabitkan bantuan am, warga emas dan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) melibatkan peruntukkan RM176,800.