Utama  »  Mengenai KPWKM

Mengenai KPWKM

LATAR BELAKANG PENUBUHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT (KPWKM)

KPWKM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Wanita yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 17 Januari 2001. Fungsi Kementerian kemudiannya telah diperluas dan ditukar namanya kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) mulai 15 Februari 2001. Penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) adalah manifestasi pelaksanaan iltizam negara yang dibuat di Persidangan Sedunia Keempat Wanita di Beijing pada tahun 1995 seperti yang terkandung dalam dokumen Landasan Tindakan bagi memajukan wanita ke tahun 2000 iaitu:
 
“Pewujudan sebuah Kementerian yang lengkap menggambarkan komitmen Kerajaan yang tinggi untuk meningkatkan martabat wanita di negara ini”
 
Selaras dengan penubuhan KPWK, Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah diletakkan di bawah Kementerian ini. HAWA kemudiannya distruktur semula dan dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
 
Pada 27 Mac 2004, fungsi Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah dibubarkan dan telah dipindahkan ke KPWK. Sehubungan itu, KPWK telah ditukar nama menjadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
 
Dengan penstrukturan baru ini, KPWKM mempunyai lima (5) buah agensi di bawah pentadbirannya iaitu:
 
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1946;
  • Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang ditubuhkan pada tahun 1966;
  • Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang ditubuhkan pada tahun 2001;
  • Institut Sosial Malaysia (ISM) yang ditubuhkan pada tahun 2002; dan
  • Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) yang ditubuhkan pada tahun 2006.
 
Pada  21 Mei 2018,  YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan dibantu oleh Timbalan, YB Hannah Yeoh Tseow Suan yang dilantik pada 2 Julai 2018.
 
YBhg. Datuk Dr. Rose Lena Lazemi telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha pada 09 Julai 2018 dengan dibantu oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), YBrs. Dr. Hishamuddin Bin Mohd Hashim yang dilantik pada 1 Oktober 2018 dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), YBrs. Dr. Waitchalla R.R.V. Suppiah yang dilantik pada 15 Februari 2017.
 
KPWKM terbahagi kepada Sektor Strategik, Sektor Operasi dan Unit-unit di bawah Ketua Setiausaha seperti berikut:
 
 
SEKTOR STRATEGIK 
  • Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik
  • Bahagian Kolaborasi Strategik
  • Bahagian Hubungan Antarabangsa
  
SEKTOR OPERASI 
  • Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
  • Bahagian Khidmat Pengurusan
  • Bahagian Kewangan
  • Bahagian Akaun
  • Bahagian Pembangunan
  • Bahagian Pengurusan Maklumat
     
UNIT-UNIT DI BAWAH KSU 
  • Unit Komunikasi Korporat
  • Unit Audit Dalam
  • Unit Undang-Undang
  • Unit Integriti
  • Unit NKRA
  • Unit Amalan Kaunselor