SOALAN LAZIM - TRIBUNAL BAGI ANTIGANGGUAN SEKSUAL (TAGS)
- 1. Apakah bidang kuasa TAGS? TAGS mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan apa-apa aduan gangguan seksual sebagaimana ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).
- 2. Apakah yang dimaksudkan dengan gangguan seksual? Gangguan seksual adalah apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.
- 3. Adakah TAGS mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat aduan pengadu? TAGS tidak mempunyai bidang kuasa perundangan di bawah Akta 840 untuk bertindak atas sesuatu aduan. TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum bagi mangsa gangguan seksual mengambil tindakan terhadap pelaku gangguan seksual untuk mendapatkan tebus rugi akibat daripada gangguan seksual yang dialami.
- 4. Bolehkah isu yang sama difailkan di mahkamah dan juga di TAGS? Tidak boleh kerana hanya satu forum yang boleh mendengar dan memutuskan kes aduan gangguan seksual pada satu-satu masa, melainkan tuntutan sivil di mahkamah ditarik balik atau isu yang yang dibicarakan di mahkamah adalah berkenaan pendakwaan jenayah sahaja.
- 5. Siapakah yang boleh memfailkan aduan gangguan seksual di TAGS?
- i. semua individu yang menjadi mangsa gangguan seksual;
- ii. jika mangsa tersebut belum mencapai umur 18 tahun, boleh diwakilkan oleh sahabat wakil atau penjaga ad litem; atau
- iii. jika mangsa tersebut seorang yang tidak berkeupayaan, boleh diwakilkan oleh sahabat wakil atau penjaga ad litem.
- 6. Berapakah had maksimum nilai ganti rugi yang boleh dituntut di TAGS? Jumlah maksimum yang boleh dituntut ialah RM250,000.00.
- 7. Bilakah tarikh kuatkuasa Akta 840 secara sepenuhnya? 8 Mac 2024.
- 8. Jika kejadian gangguan seksual berlaku sebelum tarikh 8 Mac 2024, bolehkah aduan dibuat kepada TAGS? Tidak boleh. Aduan hanya boleh dibuat bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac 2024. Namun demikian, tindakan sivil boleh difailkan di mahkamah tertakluk kepada Akta Had Masa 1953.
- 9. Apakah prosedur untuk mangsa gangguan seksual untuk memfailkan aduan di TAGS? Mana-mana mangsa atau pun sahabat wakil/penjaga ad litem bagi mangsa yang belum mencapai umur 18 tahun ataupun individu yang tidak berkeupayaan boleh memfailkan aduan gangguan seksual di TAGS dengan mengisi borang aduan melalui Borang 1. Borang 1 boleh didapati di kaunter pejabat TAGS ataupun dimuat turun di laman web KPWKM. Pengadu hendaklah mengisi empat (4) salinan Borang 1 dan memfailkannya di kaunter TAGS.
Kaunter: Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS)
Aras G, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
No. 55, Persiaran Perdana Presint 4,
62100 PUTRAJAYA
No. Tel: 03-8323 2279
Waktu urusan kaunter: Isnin – Jumaat: 9.00 pagi – 4.30 petang
Rehat: Isnin – Khamis: 1.00 tengah hari – 2.00 petang
Jumaat: 12.15 tengah hari – 2.45 petang - 10. Adakah terdapat bayaran yang perlu dibuat semasa memfailkan Borang 1? Pemfailan Borang 1 dikenakan bayaran RM30.00.
- 11. Apakah tindakan TAGS apabila menerima Borang 1?
- i. TAGS akan memeteraikan Borang 1 dan akan meletakkan tarikh serta menandatangani Borang 1;
- ii. dua (2) salinan Borang 1 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada pengadu. Satu (1) salinan untuk simpanan pengadu dan satu (1) salinan lagi untuk pengadu serahkan kepada responden; dan
- iii. dua (2) salinan Borang 1 akan disimpan oleh TAGS.
- 12. Apakah yang perlu dilakukan oleh pengadu selepas memfailkan Borang 1? Pihak pengadu hendaklah menyerahkan Borang 1 kepada responden dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh pengadu menerima Borang 1 yang dimeteraikan, melalui kaedah berikut:
- i. secara serahan tangan. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini, antara lain, adalah salinan akuan penerimaan / tandatangan / cop penerimaan / gambar penyerahan dan tarikh penyerahan; atau
- ii. melalui Pos Berdaftar Akuan Terima yang dialamatkan kepada alamat responden. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah kad AR yang dikembalikan; atau
- iii. menampal Borang 1 pada bahagian utama di alamat terakhir responden yang diketahui. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar yang jelas menunjukkan dokumen yang ditampal dan premis responden.
- 13. Apakah yang perlu dilakukan jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden? Jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden, pengadu hendaklah hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk pendengaran dan memaklumkan kepada panel Tribunal berkaitan perkara ini semasa sesi pendengaran untuk panel Tribunal membuat perintah yang sewajarnya.
- 14. Adakah responden ada hak untuk membela diri? Ya. Responden dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan Borang 1 hendaklah memfailkan Pernyataan Pembelaan melalui Borang 2 dalam empat (4) salinan di TAGS berserta fi pemfailan sebanyak RM10.00.
- 15. Apakah proses seterusnya apabila Borang 2 difailkan?
- i. TAGS akan memeteraikan Borang 2 dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 2.
- ii. satu (1) salinan Borang 2 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada responden;
- iii. satu (1) salinan Borang 2 akan diserahkan kepada pengadu oleh TAGS; dan
- iv. dua (2) salinan Borang 2 akan disimpan oleh TAGS.
- 16. Bagaimanakah pendengaran di hadapan panel Tribunal dibuat? Setelah TAGS mengeluarkan Notis Pendengaran, pihak-pihak hendaklah hadir di hadapan panel Tribunal pada tarikh dan masa yang ditetapkan untuk pendengaran. Pihak-pihak dibenarkan untuk mengemukakan apa-apa bukti atau memanggil mana-mana saksi bagi menyokong aduan dan pembelaan masing-masing. Pendengaran aduan gangguan seksual akan didengar di hadapan tiga (3) anggota panel Tribunal yang akan diketuai oleh seorang Pengerusi dan dibuat secara tertutup.
- 17. Bolehkah pihak-pihak diwakili peguam? Tidak boleh kecuali apabila pada pandangan panel Tribunal terdapat isu undang-undang yang rumit.
- 18. Bolehkah pihak-pihak membuat rundingan penyelesaian? Boleh dengan syarat dipersetujui kedua-dua pihak dan penyelesaian rundingan akan direkodkan di hadapan panel Tribunal.
- 19. Adakah orang lain boleh hadir untuk mewakili pengadu / responden semasa pendengaran? Tidak boleh, kecuali bagi orang yang belum mencapai umur 18 tahun atau orang yang tidak berkeupayaan boleh diwakili oleh sahabat wakilnya atau penjaga ad litemnya.
- 20. Apakah keputusan yang boleh dibuat oleh panel Tribunal pada akhir pendengaran aduan gangguan seksual?
- i. Sekiranya aduan gangguan seksual berjaya dibuktikan di atas imbangan kebarangkalian, panel Tribunal akan mengeluarkan Award Aduan Gangguan Seksual selaras dengan Seksyen 20 Akta Antigangguan Seksual 2022 yang mengandungi satu atau lebih perintah berikut:
- a) pernyataan permohonan maaf oleh responden kepada pengadu;
- b) penyiaran permohonan maaf oleh responden kepada pengadu (jika perbuatan gangguan seksual dilakukan di khalayak ramai);
- c) pembayaran pampasan atau ganti rugi oleh responden kepada pengadu tidak melebihi RM250,000.00 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu akibat perbuatan gangguan seksual yang dialami;
- d) menghadiri apa-apa program sebagaimana yang difikirkan perlu oleh panel Tribunal.
- ii. Sekiranya aduan gangguan seksual gagal dibuktikan di atas imbangan kebarangkalian, panel Tribunal akan menolak aduan pengadu.
- 21. Adakah TAGS mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman kerana tidak mematuhi award yang dikeluarkan oleh TAGS di bawah Akta 840? Tidak. Kegagalan mematuhi award merupakan satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 21 Akta 840. Proses siasatan akan dikendalikan oleh pihak PDRM dan hanya mahkamah sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman.
- 22. Adakah Presiden dan Timbalan Presiden TAGS terlibat dengan penentuan keputusan oleh sesuatu panel Tribunal dalam sesuatu pendengaran aduan yang tidak dipengerusikan oleh Presiden dan Timbalan Presiden TAGS? Tidak, Presiden dan Timbalan Presiden TAGS tidak terlibat sama sekali dengan penentuan keputusan aduan gangguan seksual yang didengar di hadapan panel Tribunal yang lain.
- 23. Adakah award tersebut mengikat pihak-pihak? Award (Keputusan) yang dikeluarkan oleh panel Tribunal adalah muktamad dan mengikat pihak-pihak serta disifatkan sebagai suatu perintah mahkamah.
- 24. Apakah tindakan yang boleh diambil sekiranya mana-mana pihak tidak mematuhi award yang dikeluarkan oleh panel Tribunal? Sekiranya award tidak dipatuhi dalam masa 30 hari dari tarikh award dibuat, dua (2) tindakan boleh diambil oleh pihak yang terjejas atas keingkaran tersebut:
- i. Tindakan sivil
- Award boleh dikuatkuasakan melalui tindakan sivil dengan memfailkan permohonan pelaksanaan perintah di mahkamah dan hendaklah diuruskan sendiri oleh pihak-pihak.
- ii. Tindakan jenayah
- Pihak yang terjejas atas keingkaran terhadap award tersebut boleh membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil ke atas pihak yang ingkar award tersebut. Keingkaran untuk mematuhi award merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah seksyen 21 Akta 840 yang memperuntukkan seperti berikut:
- a. denda dua (2) kali ganda jumlah amaun pampasan atau ganti rugi, atau pemenjaraan tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya; atau
- b. jika tiada nilai pampasan atau ganti rugi diberikan oleh Tribunal, denda tidak melebihi RM10,000.00, atau pemenjaraan tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya; dan
- c. jika keingkaran award masih berterusan, orang itu boleh, sebagai tambahan kepada penalti yang dinyatakan di atas, dikenakan denda yang tidak melebihi RM1,000.00 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
- 25. Adakah award boleh dicabar oleh pihak-pihak? Boleh, dengan syarat jika terdapat ketidakaturan yang serius yang menjejaskan award tersebut dengan cara memfailkan permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 di Mahkamah Tinggi.
- 26. Adakah pihak-pihak boleh mendapatkan nota keterangan dan alasan penghakiman daripada TAGS bagi sesuatu aduan gangguan seksual? Salinan nota keterangan dan alasan penghakiman penuh bertulis akan dibekalkan kepada pihak-pihak setelah permohonan kebenaran semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.
- 27. Adakah award boleh dipinda setelah ia dikeluarkan? Award adalah muktamad dan tidak boleh dipinda kecuali untuk pembetulan kesilapan suntingan yang tidak disengajakan.
- 28. Adakah pelaksanaan award boleh ditangguhkan atau digantungkan? TAGS tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangguhkan atau menggantungkan pelaksanaan awardnya. Sebarang penangguhan atau penggantungan pelaksanaan award hanya boleh diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman.
- 29. Bagaimanakah pihak-pihak boleh membuat pertanyaan kepada TAGS? Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui emel ke care.tags@kpwkm.gov.my atau membuat panggilan telefon ke talian 03-83232279.