Terima kasih kerana melayari Portal Rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Portal ini dalam tempoh pengujian. Portal ini mungkin akan memaparkan maklumat yang kurang tepat sepanjang tempoh ini, sebarang pertanyaan sila emelkan kepada ukk@kpwkm.gov.my. Sekian, terima kasih.

Soalan Lazim

Bagaimana kami boleh membantu?
Siapakah yang boleh memfailkan aduan gangguan seksual di TAGS?

           i.        semua individu yang menjadi mangsa gangguan seksual;

           ii.        jika mangsa tersebut belum mencapai umur 18 tahun, boleh diwakilkan oleh sahabat wakil atau penjaga ad litem; atau

           iii.        jika mangsa tersebut seorang yang tidak berkeupayaan, boleh diwakilkan oleh sahabat wakil atau penjaga ad litem.

Berapakah had maksimum nilai ganti rugi yang boleh dituntut di TAGS?

Jumlah maksimum yang boleh dituntut ialah RM250,000.00.

Jika kejadian gangguan seksual berlaku sebelum tarikh 8 Mac 2024, bolehkah aduan dibuat kepada TAGS?

Tidak boleh. Aduan hanya boleh dibuat bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac 2024. Namun demikian, tindakan sivil boleh difailkan di mahkamah tertakluk kepada Akta Had Masa 1953.

Adakah TAGS mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan dan mengenakan hukuman bagi kesalahan jenayah kerana tidak mematuhi award yang dikeluarkan oleh TAGS di bawah Akta 840?

Tidak. Kegagalan mematuhi award merupakan satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 21 Akta 840. Proses siasatan dan pendakwaan akan dikendalikan oleh pihak PDRM dan hanya mahkamah sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman.

Apakah prosedur untuk mangsa gangguan seksual untuk memfailkan aduan di TAGS?

Mana-mana mangsa atau pun sahabat wakil/penjaga ad litem bagi mangsa yang belum mencapai umur 18 tahun ataupun individu yang tidak berkeupayaan boleh memfailkan aduan gangguan seksual di TAGS dengan mengisi borang aduan melalui Borang 1. Borang 1 boleh didapati di kaunter pejabat TAGS ataupun dimuat turun di laman web KPWKM. Pengadu hendaklah mengisi 4 salinan Borang 1 dan memfailkannya di kaunter TAGS.

 

Kaunter

Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS)

Aras G, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

No. 55, Persiaran Perdana Presint 4,

62100 PUTRAJAYA

No. Tel:  03-8323 2279

 

Waktu urusan kaunter :

Isnin – Jumaat : 9.00 pagi – 4.30 petang

 

Rehat :

Isnin – Khamis : 1.00 tengah hari – 2.00 petang

Jumaat : 12.15 tengah hari – 2.45 petang

Adakah terdapat bayaran yang perlu dibuat semasa memfailkan Borang 1?

Setiap pemfailan Borang 1 dikenakan bayaran RM30.00.

Apakah tindakan TAGS apabila menerima Borang 1?

         i.        TAGS  akan memeteraikan Borang 1 dan akan meletakkan tarikh serta menandatangani Borang 1;

                 ii.        Dua (2) salinan Borang 1 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada pengadu. Satu (1) salinan untuk simpanan pengadu dan satu (1) salinan lagi untuk pengadu serahkan kepada responden; dan

                iii.        Dua (2) salinan Borang 1 akan disimpan oleh TAGS.

Apakah yang perlu dilakukan oleh pengadu selepas memfailkan Borang 1?

Pihak pengadu hendaklah menyerahkan Borang 1 kepada responden dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh pengadu menerima Borang 1 yang dimeteraikan, melalui kaedah berikut:

                  i.        secara serahan tangan. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini, antara lain, adalah salinan akuan penerimaan / tandatangan / cop penerimaan / gambar penyerahan dan tarikh penyerahan; atau

                 ii.        melalui Pos Berdaftar Akuan Terima yang dialamatkan kepada alamat responden. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah kad AR yang dikembalikan; atau

                iii.        menampal Borang 1 pada bahagian utama di alamat terakhir responden yang diketahui. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar yang jelas menunjukkan dokumen yang ditampal dan premis responden.

Apakah yang perlu dilakukan jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden?

Jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden, pengadu hendaklah hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk pendengaran dan memaklumkan kepada panel Tribunal berkaitan perkara ini semasa sesi pendengaran untuk panel Tribunal membuat perintah yang sewajarnya.

ATAS
Accessbility Option