LENSA KPWKM

LAWATAN PENANDA ARAS PUSAT PANGGILAN KERAJAAN MALAYSIA (MYGCC) KE PUSAT PANGGILAN TALIAN KASIH 15999 KPWKM

Lawatan      8 Mei 2025      KPWKM    

Peranan besar yang dimainkan oleh Pusat Panggilan Talian Kasih (PPTK) 15999 yang beroperasi dibawah Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mendapat perhatian dan pengiktirafan pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun swasta.

Hari ini Pusat Panggilan Talian Kasih telah menerima kunjungan daripada Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) untuk melihat kaedah pengoperasian sistem Talian Kasih khususnya yang berkaitan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Lawatan penanda aras ini diadakan untuk pihak MyGCC mendapatkan pandangan dan perkongsian pengalaman bagi mewujudkan MyGCC Mesra OKU selaras dengan inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang lalu.

Pegawai UKK dan Pusat Panggilan Talian Kasih telah berkongsi pengalaman dan maklumat terperinci berkenaan operasi Talian Kasih, jenis pertanyaan dan aduan yang lazimnya diterima daripada golongan OKU di pusat panggilan ini.

KPWKM melalui PPTK sentiasa mengalu-alukan kunjungan dan sesi perkongsian pengalaman seperti ini sebagai platform terbaik bagi bertukar pandangan dan pengalaman dalam memastikan perkhidmatan yang ditawarkan dapat memenuhi keperluan golongan OKU khususnya dan masyarakat secara keseluruhannya.

PPTK 15999 komited memberikan khidmat terbaik sebagai talian bantuan sokongan sosial kerajaan yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun tanpa henti bagi memberikan bantuan sokongan sosial kepada masyarakat yang memerlukan.

Sesi perbincangan dan lawatan kerja ini turut disertai oleh wakil pegawai daripada Bahagian Pengurusan Maklumat KPWKM dan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) JKM serta pegawai dari Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPWKM.

ATAS
Accessbility Option