Warna-warni Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan yang telah berlangsung di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya.
Lebih istimewa, majlis pada hari ini telah disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Bertemakan “KASIH Keluarga, Bahagia Bersama”, tema ini adalah seruan kepada masyarakat untuk menghayati nilai K.A.S.I.H merangkumi Kasih sayang , Akhlak mulia, Sihat dan selamat, Ilmu serta Harmoni yang seterusnya menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
Majlis pada hari ini juga menyaksikan pelancaran Pakej KASIH MADANI 2.0 sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh hubungan pasangan suami isteri serta peranan bapa sebagai tonggak keluarga.
Pakej yang telah dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan penglibatan para akademik serta pakar rujuk bidang kekeluargaan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini merangkumi dua modul utama iaitu Modul Romantika Cinta dan Modul Kebapaan.
Kemeriahan berganda di hari kedua dengan aktiviti KASIH Family Fun Run sepanjang 4km. Acara pelepasan Flag Off telah diketuai oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan disertai pelbagai peringkat usia. Aktiviti sebegini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping mencipta detik-detik bahagia bersama keluarga.
KPWKM bersama LPPKN akan terus menumpukan kepada pendidikan keibubapaan dan intervensi sosial seterusnya memastikan tiada keluarga yang tercicir dalam arus pembangunan negara.
Turut hadir pada majlis sambutan ini ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Ketua-ketua Jabatan serta Agensi.