Hari ini, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM telah merasmikan Program Kasih Keluarga 2025 di Kampung Santuni Madani KPWKM. Program ini mengangkat nilai K.A.S.I.H (kasih sayang - akhlak-sihat- ilmu-harmoni) dan menyokong program kesedaran PEKERTI serta keibubapaan yang telah dijalankan oleh agensi di bawah KPWKM iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara(LPPKN).
Program PEKERTI ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan NGO bagi meningkatkan kesedaran pendidikan kesihatan reproduktif dalam masyarakat sekali gus memperkasakan ibu bapa dan pendidik dalam isu kesihatan reproduktif.
Selain itu, Pusat Remaja KafeTEEN yang dikendalikan LPPKN juga berperanan meningkatkan akses remaja kepada maklumat melalui program pendidikan dan pembangunan kemahiran kesihatan reproduktif serta khidmat nasihat kaunseling dan konsultasi klinikal secara percuma.
Pelbagai pengisian menarik yang diadakan pada hari ini antaranya Bicara Interaktif yang menyentuh isu-isu terkini kesihatan reproduktif dan seksual yang berlaku di negara ini khususnya di negeri Kelantan. Selain itu, masyarakat juga diberi pendedahan mengenai pendidikan seksual, tips keibubapaan dan perkongsian maklumat berkaitan pemakanan sihat.
Turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran agensi di bawah KPWKM (JKM, JPW, LPPKN) yang menawarkan Perkhidmatan HPV DNA, Pendaftaran Subsidi Mamogram, Saringan Kesihatan, Urutan Kesejahteraan Wanita (MamaCare), Urutan Kesejahteraan Lelaki (PapaCare) dan Mobile KafeTEEN.