Majlis Apresiasi & Penghargaan Rakan Strategik Anjung Sinar
29 Jun 2025
Membina keyakinan serta membuka laluan masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak generasi harapan merupakan salah satu misi utama Kementerian dalam menyantuni golongan sasar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri hari ini telah menyempurnakan Majlis Apresiasi & Penghargaan Rakan Strategik Anjung Sinar yang bertempat di Amverton Cove, Pulau Carey, Selangor.
Majlis turut diisi dengan sesi penghargaan kepada rakan-rakan strategik serta penyampaian Anugerah Ikon Anjung Sinar kepada lima individu cemerlang yang menunjukkan pencapaian luar biasa pasca institusi. Pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada peserta lain dalam melihat potensi diri dan menetapkan hala tuju hidup yang lebih bermakna.
Penerima anugerah terdiri daripada:
1. Ikon Sukarelawan: Lydia Abdul Razak (Alumni RKK Mini Kelantan)
2. Ikon Kepimpinan: Siti Hadijah Nurmal (Alumni RKK Rembau, Negeri Sembilan)
3. Ikon Komuniti: Muhammad Fikri Aiman Abdullah (Alumni Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan)
4. Ikon Kerjaya: Nurul Syafiqah Shahbudin (Alumni RKK Rembau, Negeri Sembilan)
5. Ikon Pendidikan: Muhammad Fakrolnizam Mat Arif (Alumni STB Jerantut Pahang)
Majlis tersebut diadakan bersempena dengan Program Transisi Dinamik Bootcamp anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang merupakan inisiatif tahunan di bawah Anjung Sinar yang bertujuan memperkasa anak-anak institusi JKM untuk menghadapi kehidupan selepas institusi dengan lebih yakin dan bersedia.
Program ini menghimpunkan peserta transisi yang terdiri daripada 52 lelaki dan 76 perempuan daripada 23 institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberi pendedahan secara langsung berkenaan manfaat dan kemudahan yang ditawarkan menerusi inisiatif Anjung Sinar. Ia turut memberi ruang kepada peserta untuk memahami peluang kerjaya serta laluan masa depan yang tersedia selepas tamat tempoh perlindungan di institusi JKM.
Pelaksanaan program ini turut disokong oleh agensi-agensi strategik dan pihak majikan yang berkongsi maklumat berkenaan peluang latihan, pekerjaan dan pembangunan diri. Pendedahan awal ini diharap mampu membuka minda dan memberikan motivasi kepada para peserta dalam merancang masa depan mereka dengan lebih baik.
Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Encik Mohd Daud Mohd Ariff, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Puan Nordina Haron, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Ahli-ahli Pemegang Amanah YKN serta Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai jabatan dan agensi KPWKM.