LENSA KPWKM

KAMPUNG ANGKAT MADANI KPWKM: MEMPERKASA KEMUDAHAN, MENYANTUNI KOMUNITI

Program      8 November 2026      Sarawak    

KAMPUNG ANGKAT MADANI KPWKM: MEMPERKASA KEMUDAHAN, MENYANTUNI KOMUNITI

8 November 2026

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI KPWKM Tahun 2026 bertempat di Surau Darul Ikhtiar, Kampung Rampangi Fasa 2, Kuching, Sarawak, sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif nasional yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan Kerajaan dengan memberikan tumpuan kepada keperluan sebenar masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas, kesejahteraan sosial dan kualiti hidup komuniti.

Menerusi inisiatif ini, KPWKM melalui Bahagian Pembangunan telah melaksanakan Kerja-Kerja Membaik Pulih Surau Darul Ikhtiar dengan kos sebanyak RM499,377.00. Pelaksanaan projek ini bukan sahaja menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa, selamat dan kondusif, malah turut memperluas fungsi surau sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, kerohanian dan sosial yang dapat mengeratkan hubungan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.

Pelaksanaan projek berkenaan turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak menerusi pelaksanaan Kerja-Kerja Membina Lantai Baharu yang melibatkan penyertaan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kerjasama ini bukan sahaja memberikan pendedahan dan pengalaman praktikal kepada para pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari, malah turut menyemai semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti.

Seiring dengan pendekatan keseluruhan Kerajaan (whole-of-government), KPWKM turut memperluas akses perkhidmatan secara langsung kepada penduduk melalui penglibatan pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk sesi perkongsian ilmu, saringan kanser serviks menerusi ujian HPV DNA, pendaftaran pemeriksaan mamogram, perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial serta khidmat nasihat berkaitan urusan kebajikan masyarakat.

Pada masa yang sama, pelaksanaan kempen kesedaran dan advokasi menerusi Talian KASIH 15999, Sahabat KafeTeen serta Kempen Sokongan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita turut memberikan pendedahan kepada komuniti mengenai kepentingan kesejahteraan sosial, perlindungan golongan rentan dan saluran bantuan yang tersedia.

Program ini turut dimeriahkan dengan demonstrasi Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI) oleh Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Jualan Rahmah, khidmat nasihat berkaitan urusan pendaftaran diri serta pendaftaran MyDigital ID. Penyediaan pelbagai perkhidmatan secara bersepadu ini membolehkan penduduk memperoleh maklumat, khidmat nasihat dan bantuan secara lebih mudah, dekat dan menyeluruh.

Penganjuran Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI KPWKM Tahun 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan KPWKM dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal, malah turut memberikan penekanan terhadap pembangunan sosial, pemerkasaan komuniti dan kesejahteraan rakyat secara holistik. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang inklusif, responsif dan berimpak tinggi.

ATAS
Accessbility Option