LENSA KPWKM

MAJLIS PERASMIAN FORUM KANAK-KANAK ASEAN KE-9

Program      4 Ogos 2026      KPWKM    

Majlis Perasmian Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-9

4 Ogos 2026

Malaysia terus memperkukuh komitmen serantau dalam melindungi hak, kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak daripada segala bentuk keganasan menerusi penganjuran Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-9 (9th ASEAN Children’s Forum, ACF) yang berlangsung pada 4 hingga 5 Ogos 2026 di Putrajaya.

Bertemakan “Shielding ASEAN Childhood: Say No to Violence”, tema ini adalah selaras dengan komitmen Negara-Negara Anggota ASEAN (ASEAN Member States, AMS) yang kini sedang memuktamadkan ASEAN Regional Plan of Action on the Elimination of Violence Against Children 2026–2035, yang dijadualkan untuk diperakukan oleh para Pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Republik Filipina.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya menegaskan bahawa setiap kanak-kanak berhak menikmati hak yang sama dalam aspek perlindungan, perkembangan, kelangsungan hidup dan penyertaan yang bermakna. Beliau juga menekankan bahawa setiap dasar dan keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan kanak-kanak hendaklah berteraskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.

Dalam majlis yang sama, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), menyampaikan
ucapan alu-aluan, diikuti ucapan oleh TYT Nararya S. Soeprapto, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat, yang disampaikan menerusi rakaman video.

Forum ini diterajui oleh Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development (SOMSWD) dengan kerjasama ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (ACWC), iaitu badan sektoral ASEAN yang dianggotai oleh KPWKM.

ACF ke-9 menghimpunkan lebih 150 peserta secara hibrid, termasuk empat wakil kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun dari setiap Negara Anggota ASEAN. Mereka disokong oleh fasilitator, mentor, titik fokal SOMSWD, wakil ACWC bagi Hak Wanita dan Hak Kanak-Kanak, Sekretariat ASEAN serta rakan strategik seperti Child Rights Coalition Asia (CRC Asia), World Vision East Asia, Asmae Philippines, UNICEF, UNFPA dan SUHAKAM.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KPWKM, YBhg. Dato' Ruziah binti Haji Shafei, pegawai kanan jabatan dan agensi di bawah KPWKM, wakil SUHAKAM, UNICEF Malaysia, UNFPA Malaysia serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO), antaranya CRC Malaysia, Yayasan Chow Kit, Desa Amal Jireh dan Home of Peace Kuala Lumpur.

ATAS
Accessbility Option