4th ASEAN Women Leaders’ Summit
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai 4th ASEAN Women Leaders’ Summit yang berlangsung pada 29 September hingga 1 Oktober 2026 di Manila, Filipina. Sidang Kemuncak yang dianjurkan oleh ASEAN Committee on Women (ACW) Filipina dengan kerjasama ASEAN-Canada Plan of Action Trust Fund dan The Asia Foundation ini menghimpunkan pembuat dasar, pakar serta rakan strategik ASEAN bagi membincangkan pendekatan dan mekanisme untuk memperkukuh kesaksamaan gender serta meningkatkan penyertaan bermakna wanita dalam kepimpinan.
Delegasi Malaysia diketuai oleh YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita selaku wakil ACW Malaysia. Turut hadir ialah YBrs. Dr. Nurul Huda Abdul Manaf daripada Bahagian Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Keluarga, KPWKM; Puan Anis Nabihah Razak daripada Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPWKM; serta Puan Rashidah Md Rasib daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Dalam sesi “High-Level Exchange of Views on the Status of Women Leadership across ASEAN and their Role in Inclusive Prosperity”, Malaysia yang diwakili oleh YBrs. Puan Hanani Sapit telah berkongsi pengalaman dan usaha Malaysia dalam meningkatkan perwakilan wanita dalam kepimpinan di pelbagai peringkat dan sektor, termasuk politik, perkhidmatan awam dan korporat. Antara inisiatif Malaysia yang diketengahkan ialah pelantikan Gender Focal Point dan Gender Focal Team, PERANTIS serta Kerangka Ekonomi Penjagaan 2026–2030.
Sidang Kemuncak ini turut menjadi platform penting bagi negara-negara ASEAN untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan pendekatan inovatif dalam memperkukuh kepimpinan wanita, termasuk melalui pengukuhan kerjasama serantau, pemanfaatan teknologi digital, tadbir urus berasaskan bukti serta pendekatan whole-of-government dan whole-of-society. Perbincangan turut mengetengahkan peranan dan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang strategik seperti STEM, Women, Peace and Security (WPS), perubahan iklim, kejuruteraan dan sektor maritim.
Penyertaan KPWKM dalam Sidang Kemuncak ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kepimpinan wanita dan memajukan agenda kesaksamaan gender melalui kerjasama serantau, perkongsian pengetahuan serta penerapan pendekatan dan inovasi yang bersesuaian. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh pembangunan sosial yang inklusif dan mampan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.