Kursus Srikandi Digital: Setiausaha Pejabat dan Automasi AI
KPWKM terus mempertingkat kecekapan perkhidmatan kesetiausahaan di Kementerian dengan menyuntik elemen automasi kecerdasan buatan (AI) dalam pelaksanaan tugas harian.
Seramai 40 orang Setiausaha Pejabat dari pelbagai Bahagian, Jabatan, dan Agensi di bawah KPWKM telah berjaya menamatkan Kursus Srikandi Digital: Setiausaha Pejabat dan Automasi AI yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2025.
Kursus anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) ini bertujuan untuk melengkapkan Setiausaha Pejabat dengan kemahiran teknologi AI dan automasi terkini agar dapat memudahkan kerja dan tugasan harian.
Turut diadakan Sesi Khas Bersama Ketua Pegawai Digital Kementerian, YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi. Dalam ucapannya beliau menyeru agar semua peserta menjadi agen perubahan digital yang mampu mengurus pejabat dengan lebih tangkas dan cekap serta sentiasa memperkukuh penguasaan teknologi AI selari dengan peredaran terkini.
Kursus ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran baharu, malah turut menjadi pemangkin kepada usaha Kementerian ini dalam melahirkan warga kerja yang berkemahiran tinggi, progresif dan seiring dengan arus pemodenan teknologi. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta.