Lawatan Tapak Pusat Fertiliti Negara
12 Oktober 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh komitmen dalam mendukung kesejahteraan keluarga melalui pembangunan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan reproduktif yang berkualiti, inklusif dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Sejajar dengan komitmen tersebut, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM telah mengadakan lawatan tapak ke Pusat Fertiliti Negara di Shah Alam bagi meninjau perkembangan projek serta kemajuan kerja-kerja pembangunan pusat berkenaan. Lawatan ini turut disertai oleh YBhg. Dato’ Ruziah Haji Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), pegawai-pegawai dari Bahagian Pembangunan (BPEM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), serta wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana projek tersebut.
Pembangunan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem perkhidmatan kesihatan reproduktif negara, khususnya dalam menyediakan sokongan dan kemudahan berkaitan rawatan subfertiliti kepada pasangan yang memerlukan.
KPWKM akan terus komited dalam memperjuangkan kesejahteraan keluarga melalui inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi untuk membina institusi keluarga yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan inklusif.