Malaysia Perkukuh Perlindungan Digital Kanak-Kanak Serantau di ASEAN ICT Forum 2025
18 November 2025
Malaysia hari ini memperkukuh komitmen serantau dalam melindungi keselamatan kanak-kanak di dunia digital dengan penganjuran ASEAN ICT Forum on Child Protection 2025 bertempat di Kuala Lumpur.
Bertemakan “Empowering Children and Strengthening ASEAN’s Commitment to a Safer Digital Future”, forum ini telah menghimpunkan wakil kerajaan, industri teknologi, pakar keselamatan digital dan pertubuhan masyarakat sivil dari seluruh ASEAN memberi fokus kepada cabaran keselamatan kanak-kanak dalam era kecerdasan buatan (AI), penyebaran maklumat palsu, kes buli siber serta eksploitasi seksual dalam talian.
Majlis perasmian forum anjuran KPWKM dengan kerjasama strategik UNICEF, Kerajaan Australia dan Sekretariat ASEAN ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa ancaman digital bergerak lebih pantas daripada keupayaan negara-negara menangani risiko yang dihadapi kanak-kanak hari ini.
Beliau turut memberi amaran tentang peningkatan penggunaan AI untuk menggandakan risiko seperti klon suara, imej deepfake dan pencabulan identiti kanak-kanak.
Bagi memperkukuh perlindungan serantau, Malaysia turut mencadangkan tiga inisiatif utama ASEAN iaitu Rangkaian Pertukaran Maklumat Perlindungan Kanak-Kanak ASEAN bagi amaran awal dan koordinasi rentas sempadan, Protokol Forensik Digital Serantau untuk menyegerakan siasatan kes jenayah dalam talian dan Kurikulum ‘ASEAN Digital Guardianship’ untuk membina literasi digital dan daya tindak kanak-kanak sejak usia sekolah rendah.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Dasar Kanak-Kanak Negara (2026–2030) yang merangkumi 141 tindakan di bawah 16 keutamaan strategik. Dasar ini menekankan empat prinsip utama iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama ASEAN.
KPWKM kekal komited dalam menangani isu seperti kesihatan mental kanak-kanak, keselamatan data, penglibatan kanak-kanak dalam mereka bentuk teknologi, serta penciptaan ruang digital inklusif bagi kanak-kanak berkeperluan khas.
Turut sama hadir ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Ariff, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, YBhg. Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah JKM, YBhg. Dato' Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN serta para pegawai jabatan dan agensi.