Bengkel Penyediaan Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 KPWKM
?Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited dalam merangka perancangan strategik masa hadapan menerusi Bengkel Penyediaan Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 KPWKM yang telah berlangsung di Putrajaya pada 4 hingga 5 Ogos 2026. Bengkel ini telah diterajui oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ruziah binti Haji Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM. Bengkel ini menghimpunkan hampir 50 orang pegawai yang terdiri daripada bahagian, jabatan dan agensi di bawah KPWKM.
?Sepanjang bengkel dua (2) hari ini, para peserta terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan, soal-jawab dan percambahan fikiran bagi memastikan cadangan inisiatif yang dikemukakan adalah komprehensif, bersasar, dan responsif terhadap keperluan semasa kumpulan sasar.
Bengkel ini telah memperincikan 25 cadangan inisiatif Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang melibatkan cadangan lima (5) agensi iaitu Bahagian Kesejahteraan Masyarakat (BKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Berteraskan kerangka Ekonomi Madani dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), inisiatif yang dicadangkan memfokuskan kepada pemerkasaan golongan rentan, pengukuhan institusi keluarga, pembangunan ekonomi penjagaan (care economy) serta transformasi pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan sosial. Matlamat utama adalah untuk meningkatkan mobiliti sosial, menjamin kesejahteraan rakyat, dan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara.