Mewakili Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff telah menyampaikan intervensi semasa sesi Ministerial Segment: Roundtable 2 yang bertemakan National mechanisms for gender equality and the empowerment of women and girls: Recommitting to resourcing and accelerating the implementation of the Beijing Platform for Action, also with a view to contributing to the achievement of the Sustainable Development Goals.
Dalam intervensi tersebut, YBhg Datuk Dr KSU memaklumkan Malaysia kekal komited dengan isu berkaitan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita serta kanak-kanak perempuan, sejajar dengan Beijing Platform for Action dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Melalui Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, Malaysia mengukuhkan rangka kerja institusi dengan pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) dan pendekatan menyeluruh masyarakat (whole-of-society).
Malaysia juga mengintegrasikan perspektif gender dalam perancangan pembangunan nasional, termasuk melalui belanjawan responsif gender (gender-responsive budgeting), selain memperkukuh undang-undang terhadap keganasan berasaskan gender.
Namun begitu, untuk memastikan usaha ini berjaya, ia memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak, bukan sahaja di peringkat negara, tetapi juga global. Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk memperkukuh kerjasama pelbagai hala, berkongsi amalan terbaik dan menggerakkan pembiayaan bagi merapatkan jurang gender serta melindungi hak wanita dan kanak-kanak perempuan.
Turut menyertai delegasi Malaysia adalah Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, TYT Dato’ Dr Ahmad Faisal Muhamad serta Kaunselor (Third Committee, Commonwealth), Puan Nur Azura Abd. Karim.
LENSA KPWKM
HARI KETIGA SESI KE-69 COMMISSION ON THE STATUS OF WOMEN (CSW 69): INTERVENSI ROUNDTABLE 2, NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT
Mesyuarat 12 March 2025 New York, Amerika Syarikat