Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI KPWKM Tahun 2026
8 Oktober 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh ekosistem pembangunan kanak-kanak secara inklusif, berkualiti dan berdaya saing melalui pelaksanaan Inisiatif Sekolah Angkat MADANI, selaras dengan aspirasi reformasi perkhidmatan awam yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri.
Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI KPWKM Tahun 2026 telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu, Kelantan dengan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM.
Pada tahun ini, KPWKM telah melaksanakan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf bangunan bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu. Kerja-kerja baik pulih ini dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat kepada para murid PPKI serta membantu para guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
Majlis Penyerahan ini turut dimuatkan dengan dua slot interaktif yang dikendalikan oleh agensi di bawah KPWKM, iaitu sesi pendedahan mengenai Modul MEKAR oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta sesi Advokasi Antigangguan Seksual oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Sementara itu, reruai pameran juga diadakan dengan penglibatan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), LPPKN, JPW dan Talian KASIH 15999.
Selain itu, tiga aset bergerak telah dibawakan khas ke sekolah, iaitu Klinik Bergerak LPPKN, Trak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) serta Kiosk Wagon (Kiosk Makanan dan Gunting Rambut Secara Percuma) di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Pengisian slot interaktif, reruai pameran dan aset bergerak ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kefahaman para guru dan pelajar mengenai aspek pembangunan diri, kesejahteraan sosial serta kepentingan mewujudkan persekitaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada gangguan seksual.
Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Azhan Anuar, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, YBrs. Encik Rozeman Din, Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan YBrs. Puan Norazah Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu dan pegawai-pegawai kanan KPWKM.