Seramai 170 orang pegawai pelbagai klasifikasi skim perkhidmatan terdiri daripada Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S9, Perangkawan Gred E9, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S5 dan Penolong Pegawai Penerangan Gred S5 telah melapor diri pada hari ini dalam Majlis Lapor Diri Bagi Pelantikan Baharu (COS) Pelbagai Klasifikasi Skim Perkhidmatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri KPWKM dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas atas pelantikan para pegawai yang terlibat. Beliau juga mengingatkan para pegawai untuk mengekalkan momentum dan usaha dalam melaksanakan amanah dengan semangat selain sentiasa meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
KPWKM melalui JKM akan terus memberi fokus kepada agenda kanak-kanak dalam semua aspek demi menjamin kesejahteraan dan masa depan mereka. Pertambahan jawatan kontrak pelbagai skim perkhidmatan dan gred ini akan memantapkan lagi perjawatan sedia ada dan memperhebatkan program pencegahan di peringkat akar umbi yang melibatkan komuniti setempat serta jentera KPWKM di lapangan iaitu Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak serta Pembantu Pelindung yang menjadi mata dan telinga serta bertindak mengikut peruntukan perundangan di bawah Akta Kanak- Kanak 2001.
Turut sama hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Puan Rosmahwati Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) JKM dan Pegawai-pegawai kanan KPWKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Pembangunan Kanak-kanak.