APEC DIGITAL CAPACITY BUILDING WORKSHOP ON “WOMEN-FRIENDLY ARTIFICIAL INTELLIGENCE”
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai APEC Digital Capacity Building Workshop on “Women-Friendly Artificial Intelligence” yang berlangsung pada 20 April 2026 di Beijing, China. Program ini telah disertai oleh Encik Muhammad Afiq bin Mohd Khir (wakil KPWKM) dan Puan Isabela Senti Anak Rijeng (wakil Jabatan Pembangunan Wanita). Sesi ini memfokuskan kepada perkongsian kepakaran mengenai tadbir urus AI tanpa bias, peningkatan literasi digital wanita serta bagaimana teknologi AI mampu memperkasakan penyertaan ekonomi wanita dalam pasaran global.
Sepanjang bengkel ini, para peserta mendalami strategi pembangunan teknologi yang inklusif melalui sesi panel bersama pakar antarabangsa. Selain itu, sesi ini turut memberikan pengenalan kepada “APEC Women-Friendly AI Toolkit” yang menggariskan enam langkah tindakan utama seperti perlindungan privasi, reka bentuk inklusif, dan pengukuhan kepimpinan wanita dalam sektor teknologi untuk memastikan ekosistem digital yang lebih adil.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan KPWKM dalam memastikan wanita Malaysia tidak ketinggalan dalam arus inovasi dunia. Melalui input dan cadangan daripada bengkel ini, KPWKM berhasrat untuk mengaplikasikan amalan terbaik bagi membina persekitaran digital yang selamat dan mampan demi kesejahteraan wanita di Malaysia.