LENSA KPWKM

KPWKM LAKAR KECEMERLANGAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT! 92.8% DALAM PENILAIAN OUTCOME PROGRAM/PROJEK TAHUN 2025

Program      29 Oktober 2026      Putrajaya    

KPWKM LAKAR KECEMERLANGAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT! 92.8% DALAM PENILAIAN OUTCOME PROGRAM/PROJEK TAHUN 2025

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas pencapaian cemerlang dengan mencatatkan markah keseluruhan sebanyak 92.8% dalam Penilaian Outcome Program/Projek Jawatankuasa Kerja Pencapaian Outcome (JKPO) Tahun 2025 oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Lebih membanggakan, KPWKM terus melakar pencapaian cemerlang bagi dua (2) tahun berturut-turut, dengan mencatatkan markah sebanyak 92.4% pada tahun 2024 dan meningkat kepada 92.8% pada tahun 2025. Peningkatan ini membuktikan komitmen berterusan KPWKM dalam memperkukuh keberkesanan pelaksanaan program dan projek pembangunan serta memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan mencapai outcome yang disasarkan dan memberikan impak positif kepada kumpulan sasar.

Antara pencapaian yang membanggakan ialah Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Pasir Pekan Tengah, Wakaf Bharu, Kelantan di bawah seliaan Bahagian Pembangunan, KPWKM yang telah mencatatkan markah tertinggi antara program/projek KPWKM yang dinilai oleh ICU JPM.

Turut mencatatkan pencapaian cemerlang ialah dua (2) projek di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), iaitu Program Latihan Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare dan Projek Penggantian Lif di Bangunan Ibu Pejabat LPPKN.

Selain itu, Projek Pembelian dan Pembaikan Bangunan bagi Kegunaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Bagan Datuk, Perak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian angka, malah mencerminkan komitmen KPWKM dalam memastikan setiap program dan projek pembangunan dilaksanakan secara berkesan, berorientasikan keberhasilan serta memberikan manfaat yang bermakna kepada kumpulan sasar.

Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada seluruh warga KPWKM, khususnya bahagian, jabatan dan agensi yang terlibat, atas dedikasi, kerjasama erat serta usaha bersepadu dalam merealisasikan pencapaian cemerlang ini.

Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus mempertingkat kecemerlangan, memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dan merealisasikan visi serta misi KPWKM demi kesejahteraan rakyat.

KPWKM Terus Cemerlang, Terus Berbakti!

ATAS
Accessbility Option