KPWKM Sahut Seruan Malaysia Aktif
13 Oktober 2025
Bagi menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara 2025, Kementerian hari ini telah menganjurkan Hari Sukan Peringkat KPWKM yang turut diadakan bersekali dengan Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM Bilangan 10. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
YB Timbalan Menteri dalam ucapannya mengajak seluruh warga KPWKM untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas tanpa mengira usia atau kemampuan. Beliau juga mengingatkan bahawa Hari Sukan Negara adalah inisiatif penting kerajaan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang aktif bersukan dan menjadikannya sebahagian daripada budaya hidup.
Pelbagai acara yang dipertandingkan pada hari ini antaranya Tarik Tali, Cari Barang Tersembunyi, Tiup Belon dan Sambut Tepung. Seramai 433 orang peserta telah menyertai program pada hari ini terdiri daripada warga Kementerian, Jabatan dan Agensi. Rumah hijau telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan diikuti rumah kuning di tempat kedua, rumah biru di tempat ketiga dan seterusnya rumah merah di tempat keempat. Program hari ini turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik sebagai penghargaan kepada para peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti Hari Sukan pada hari ini.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) KPWKM dengan kerjasama KESKEB KPWKM sebagai urusetia program pada hari ini. Diharapkan penganjuran program ini dapat menyuntik semangat kesukanan dan kebersamaan di samping mengukuhkan hubungan antara kakitangan sokongan, pegawai serta Pengurusan Tertinggi KPWKM.