WANITA MASA HADAPAN, PEMACU TRANSFORMASI NEGARA
1 September 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkasa wanita agar lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi, ekonomi dan sosial melalui penguasaan ilmu, kemahiran serta akses kepada peluang yang dapat meningkatkan penyertaan mereka dalam pembangunan negara.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyempurnakan perasmian Program Hari Wanita Kebangsaan 2026 bertemakan “Future-Ready Women: Leading Malaysia Through Transformation”, anjuran bersama Women Leadership Foundation (WLF) dan CelcomDigi Berhad di CelcomDigi Hub, Arena, Shah Alam.
Selaras dengan Dasar Wanita Negara 2025–2030, “Memperkasa Wanita, Memperkukuh Negara”, usaha memperluas peluang kepada wanita untuk membina kerjaya, mengembangkan perniagaan, meningkatkan kemahiran serta kembali ke alam pekerjaan akan terus diperkukuh.
Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, wanita bukan sahaja perlu menjadi pengguna teknologi, malah tampil sebagai pencipta, inovator dan pembuat keputusan. Kerjasama antara Kerajaan, industri dan masyarakat sivil penting bagi menyediakan kemahiran, pendedahan dan peluang yang diperlukan untuk mencapai aspirasi ini.
Melalui dasar yang berfokus, kerjasama strategik dan potensi wanita yang terus diperkasa, KPWKM mendukung aspirasi Kerajaan MADANI untuk melahirkan wanita yang bersedia menghadapi masa hadapan, sekali gus membina Malaysia yang lebih bersedia mendepani perubahan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Encik Albern Murty, Ketua Pegawai Eksekutif Digi Hub dan Datuk (Dr.) Hafsah Hashim, Pengasas dan Pengerusi WLF.