LENSA KPWKM

SEMINAR PERAKAUNAN PENGURUSAN 2025

Latihan      6 Mei 2025      Doubletree by Hilton, Putrajaya    

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diwakili oleh YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) telah menerima Sijl Penghargaan Perakaunan Pengurusan sempena Seminar Perakaunan Pengurusan 2025 anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) yang diadakan di Doubletree by Hilton, Putrajaya.

Seminar yang julung kali diadakan ini telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan Ketua Setiausaha dari 28 Kementerian, Bendahari Negeri seluruh Malaysia serta Akauntan di Kementerian dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia. Sijil ini adalah sebagai penghargaan atas usaha, dedikasi dan komitmen KPWKM dalam melaksanakan Perakaunan Pengurusan.

Seminar yang dihadiri oleh lebih 200 peserta ini membawa tema “Perakaunan Pengurusan: Daripada Data kepada Pembuatan Keputusan”, menggambarkan kepentingan penggunaan data kewangan dan bukan kewangan dalam membuat keputusan yang lebih tepat dan strategik bagi sesuatu organisasi. Seminar ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemegang taruh di Kementerian berkaitan impak mengaplikasi elemen Perakaunan Pengurusan dalam proses pembuatan keputusan.

Selain itu, ia merupakan satu platform perkongsian pengalaman oleh sektor swasta dan pencetusan idea kepada Bahagian Akaun Kementerian bagi melaksanakan perakaunan pengurusan di Kementerian.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam ucapannya yang dibacakan oleh YBhg. Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara turut menyeru semua KSU kementerian yang juga adalah pegawai pengawal di kementerian masing-masing, untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan perakaunan pengurusan serta pelaporan Strategic Management Accounting and Reporting (SMARt) bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan kewangan yang dibuat.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan perakaunan pengurusan di KPWKM dan memastikan pelaporan Perakaunan Pengurusan (SMARt) dapat disediakan.

Turut sama hadir dalam seminar ini ialah Puan Saadiah binti Yaacob, Setiausaha Bahagian Akaun dan Akauntan dari Bahagian Akaun KPWKM.

ATAS
Accessbility Option