LENSA KPWKM

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KPWKM BILANGAN 11 TAHUN 2025

Program      28 November 2025      KPWKM    

Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM Bilangan 11 Tahun 2025

28 November 2025

Dengan semangat kekeluargaan, warga KPWKM hari ini berkumpul dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM Bilangan 11 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Perdana Nur KPWKM dan diurusetiakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapannya merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada seluruh warga kerja KPWKM yang bekerja keras menggerakkan pelbagai program dan inisiatif walaupun kian menghampiri penghujung 2025. Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan kumpulan sasar sentiasa terpelihara.

Antara program-program yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang bulan Oktober sehingga November ini merangkumi:

* Penganjuran ASEAN Conference On The New Frontiers In The Care Economy (CARECON) 2025 yang menghimpunkan lebih 150 peserta dari ASEAN dan pelbagai sektor.

* Pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Dasar Kanak-Kanak Negara (2026–2030) semasa Program ASEAN ICT Forum on Child Online Protection bagi memperkukuh keselamatan digital kanak-kanak.

* Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan yang disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

* MOU Projek Rintis Badan Pendamai antara LPPKN dan JPN.

* Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2025 di Stadium Merdeka dengan penglibatan hampir 1,000 kanak-kanak dari seluruh negara.

* Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) 2025 bertemakan 'Unite to End Digital Violence Against All Women and Girls’

* ISM Executive Talk, Pertandingan Polisi Sosial Piala KPWKM, Skuad WAJA Siswa, Hari Psikologi KPWKM, Hari Integriti dan Inovasi.

Bulan ini juga menjadi lebih bermakna dengan kejayaan-kejayaan yang dikecapi KPWKM antaranya:

- KPWKM dianugerahkan Gred A dengan markah 93.39% oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen KPWKM dalam mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat.

- Tempat pertama Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik (Peruntukan di bawah RM1 Bilion).


- Tempat kedua Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi dengan markah cemerlang sebanyak 92.4%.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pegawai Terbaik kepada Puan Ernie Wanna binti Mazni dari Bahagian Akaun dan Puan Nor Aza binti Abu Bakar dari Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) bagi sesi Julai - September 2025.

Diharapkan semangat kebersamaan antara warga kerja KPWKM terus dapat dipupuk bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa optimum demi kesejahteraan rakyat.

ATAS
Accessbility Option