LENSA KPWKM

ZIARAH KASIH TIMBALAN MENTERI KPWKM KEPADA WARIS DAN MANGSA NAHAS PELAJAR UPSI

Lawatan      10 Jun 2025      Perak    

ZIARAH KASIH TIMBALAN MENTERI KPWKM KEPADA WARIS DAN MANGSA NAHAS PELAJAR UPSI

10 Jun 2025

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sebagai tanda keprihatinan dan solidariti, KPWKM yang diwakili YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengadakan Ziarah KASIH ke atas para pelajar serta waris yang terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Jeli–Gerik melibatkan sebuah bas yang membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Insiden ini melibatkan 42 pelajar dan daripada jumlah tersebut, seramai sepuluh pelajar sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Hospital Taiping.

Lawatan ini memberi tumpuan kepada pelajar yang menerima rawatan di HRPB, Ipoh iaitu Lili Suzana binti Mat Ya’acob dan Nor Erika Elysha binti Mohd Zaidi. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan mengikut keperluan atas nasihat doktor.

Sementara itu, 8 pelajar lain sedang dirawat di Hospital Taiping antaranya Fakhira Asmalia binti Zulkifli, Nurul Nadia binti Abdul Zamid, Wan Nur Farah Syuhada binti Wan Ibrahim, Nurul Atirah binti Zakaria dan Wan Nur Masyitah binti Wan Hussin. Turut dirawat di sini, Nur Liyana binti Zainudin, Tuan Muhammad Adham bin Tuan Adnan dan Muhammad Syakir bin Mohd Saberi.

Semasa ziarah, YB Timbalan Menteri telah menyampaikan sumbangan PEKA di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Bantuan Tabung Bencana Segera di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga mangsa yang terlibat. Kehadiran YB Timbalan Menteri KPWKM bukan sahaja sebagai tanda sokongan moral, tetapi juga bagi memastikan setiap keperluan sokongan psikososial, kesejahteraan emosi dan bantuan susulan kepada keluarga dan mangsa ditangani secara menyeluruh melalui tindakan segera oleh agensi di bawah KPWKM.

YB Timbalan Menteri juga turut memaklumkan, KPWKM menawarkan kemudahan Anjung Kasih bagi waris yang memerlukan tempat bagi menguruskan diri semasa menjaga pesakit.

KPWKM melalui jabatan dan agensinya akan terus memantau dan memberikan bantuan kepada mangsa dan waris yang terlibat. KPWKM turut menyeru keluarga mangsa yang memerlukan bantuan untuk terus menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran.

Turut serta dalam lawatan ini ialah wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), bagi menyelaras sokongan kebajikan yang diperlukan. Pihak JKM dan YKN turut mengambil maklum akan keperluan lanjut berkaitan bantuan kewangan, sokongan keluarga dan pemulihan emosi mangsa.

KPWKM komited untuk terus menyantuni dan membantu rakyat yang berdepan musibah.

ATAS
Accessbility Option