LENSA KPWKM

KPWKM BERSAMA RAKAN STRATEGIK RINGANKAN BEBAN MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG BAHAGIA, SANDAKAN

Aktiviti      28 April 2026      Sabah    

KPWKM Bersama Rakan Strategik Ringankan Beban Mangsa Kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan

28 April 2026

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah turun padang menyantuni mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan yang kini ditempatkan di PPS Dewan Rumah Orang Tua Sri Harapan sebagai usaha memastikan kebajikan dan keperluan mereka terus diberi perhatian.

Seramai 1,905 mangsa daripada 384 keluarga ditempatkan di 8 PPS yang beroperasi di sekitar Sandakan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelaras pengurusan PPS meliputi pendaftaran mangsa, penyediaan keperluan asas serta agihan makanan tiga kali sehari bagi menjamin kesejahteraan mangsa sepanjang tempoh penempatan.

Dalam masa yang sama, JKM turut melaksanakan intervensi psikososial dan sokongan krisis kepada mangsa, melibatkan seramai 262 individu, bagi membantu menstabilkan emosi, mengurangkan trauma dan mempercepatkan proses pemulihan. Usaha ini disokong oleh 48 pegawai dan kakitangan JKM bersama 15 Sukarelawan JKM yang digerakkan bagi memastikan pengurusan PPS berjalan lancar.

KPWKM bersama rakan strategik seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Yayasan Sime Darby turut menyalurkan bantuan termasuk sumbangan kewangan berjumlah RM200,000, kit kebersihan, tilam, bantal serta barangan keperluan harian termasuk keperluan kanak-kanak dan bayi bagi meringankan beban mangsa.

Komitmen bersepadu antara kerajaan dan rakan strategik ini mencerminkan keprihatinan berterusan dalam memastikan setiap mangsa mendapat bantuan yang sewajarnya serta mampu meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Turut hadir YBhg. Datuk Dr Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBrs. Puan Nordina Harun, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, YBrs. Puan Rosmahwati binti Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Puan Muzdalifah Mohd Nasir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Sime Darby serta pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi kementerian.

ATAS
Accessbility Option