LENSA KPWKM

REGIONAL PEER LEARNING PLATFORM ROUNDTABLE ON ALTERNATIVE CARE ARRANGEMENTS FOR CHILDREN IN THE CONTEXT OF INTERNATIONAL MIGRATION IN THE ASIA PACIFIC

Mesyuarat      18 Ogos 2026      Thailand    

KPWKM Sertai Seminar Antarabangsa Berkaitan Hak dan Kesejahteraan Kanak-kanak

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai “Regional Peer Learning Platform Roundtable on Alternative Care Arrangements for Children in the Context of International Migration in the Asia Pacific” yang berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos 2026 di Bangkok, Ratchaburi dan Kanchanaburi, Thailand.

Pertemuan serantau kali kesembilan ini dianjurkan bersama oleh International Detention Coalition (IDC), Sekretariat Asia Dialogue on Forced Migration (ADFM) dan Pejabat Majlis Keselamatan Negara Thailand. Pertemuan tersebut menghimpunkan wakil kerajaan Australia, Indonesia, Malaysia, New Zealand dan Thailand, selain pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik serta organisasi antarabangsa.

Selain KPWKM yang diwakili oleh Puan Norzie Fariza Suid, Bahagian Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Keluarga, delegasi Malaysia turut disertai oleh wakil-wakil daripada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, UNICEF dan juga wakil NGO (SUKA Society).

Platform ini menjadi wadah perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan baik dalam memperkukuhkan alternatif kepada penahanan [atau Alternatives to Detention (ATD)] bagi kanak-kanak dalam konteks migrasi antarabangsa. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kemajuan dasar di setiap negara, hubungan antara ATD dengan dasar migrasi yang lebih menyeluruh, mekanisme saringan dan pendaftaran, peluang pekerjaan bagi pelarian serta perlindungan hak kanak-kanak dan keluarga.

Program turut merangkumi lawatan ke Ratchaburi dan Kanchanaburi bagi memberi pendedahan mengenai pelaksanaan dasar di lapangan, pengalaman kanak-kanak dan keluarga serta peranan pelbagai pihak dalam memastikan perlindungan hak mereka. Para peserta juga dapat bertukar pandangan mengenai strategi menangani ucapan kebencian dan xenofobia, di samping memupuk kesepaduan sosial serta kehidupan bersama secara aman antara komuniti tempatan, pelarian dan migran.

Penyertaan KPWKM mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuhkan kerjasama serantau, menggalakkan tadbir urus migrasi berasaskan hak serta memastikan kepentingan terbaik dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan.
ATAS
Accessbility Option