LENSA KPWKM

PERALIHAN TENAGA INKLUSIF DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT

Program      12 Ogos 2026      Kuala Lumpur    

PERALIHAN TENAGA INKLUSIF DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT

12 Ogos 2026

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyempurnakan Majlis Penutupan 7th International Sustainable Energy Summit (ISES) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Persidangan selama dua hari ini menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, penyelidik, inovator, pelabur dan rakan pembangunan dari Malaysia serta luar negara.

Dalam ucapan penutupnya, YB Menteri menegaskan bahawa peralihan tenaga bukan sekadar berkaitan teknologi dan pencapaian sasaran, tetapi perlu memberi manfaat kepada rakyat. Usaha ini perlu membantu keluarga membina masa depan yang lebih terjamin, memperkukuh komuniti dalam menghadapi perubahan ekonomi dan alam sekitar serta menyediakan peluang yang lebih baik kepada generasi akan datang.

Selaras dengan peranan KPWKM, YB Menteri turut menekankan bahawa wanita bukan sekadar penerima manfaat, tetapi perlu turut memainkan peranan dalam membentuk masa depan sektor tenaga. Wanita perlu diberikan peluang untuk terlibat dalam penggubalan dasar, keputusan pelaburan, pembangunan teknologi serta kepimpinan industri.

Pada masa sama, kepentingan kumpulan rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak, warga emas dan wanita perlu diambil kira sejak awal dalam setiap perancangan. Usaha memperluas penyertaan wanita dalam bidang STEM dan industri hijau juga perlu diperkukuh dengan menangani halangan seperti tanggungjawab penjagaan tanpa gaji, struktur tempat kerja serta akses yang tidak seimbang kepada kepimpinan.

Turut hadir Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam merangkap Pengerusi Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia dan Penasihat ISES 2026, Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Yang Berusaha Encik Mohamad Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM dan wakil-wakil Kedutaan serta Pesuruhjaya Tinggi.

ATAS
Accessbility Option