Menerusi pelaksanaan Kembara KASIH KPWKM ini, kesedaran masyarakat terutama golongan remaja mengenai isu kesihatan reproduktif dan sosial dapat ditingkatkan dengan penganjuran Program KASIH Remaja@KafeTEEN.
Program ini merupakan satu inisiatif yang baik bagi membendung gejala tidak sihat berkaitan kanak-kanak dan remaja daripada berleluasa, dengan menerapkan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang dilihat sebagai pembelajaran sepanjang hayat merangkumi aspek biologi, sosial, psikologi, kerohanian dan budaya.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkesempatan beramah mesra bersama pelajar-pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nangka, Tuaran setelah selesai merasmikan Program KASIH Remaja@KafeTEEN ini.
Antara pengisian utama program ini ialah ‘podcast’ KafeTEEN, gegar tradisi dan perkongsian bersama PRS. Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti disediakan di reruai KafeTEEN berbentuk relaks dan santai serta aktiviti berkisarkan akademik dan ilmu.
KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara akan terus komited dalam melipat gandakan usaha memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan remaja.