LENSA KPWKM

SESI LIBAT URUS BELANJAWAN 2027 KPWKM BERSAMA PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO) DAN KUMPULAN SASAR

Program      14 Ogos 2026      Kuala Lumpur    

SESI LIBAT URUS BELANJAWAN 2027 KPWKM BERSAMA PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO) DAN KUMPULAN SASAR

14 Ogos 2026

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyempurnakan Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 KPWKM dan turut hadir bersama ialah YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPWKM.

Sesi libat urus ini melibatkan seramai 250 peserta yang meliputi wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan kumpulan sasar KPWKM.

Penganjuran sesi libat urus ini adalah sebagai platform rasmi kementerian untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuh penyediaan cadangan Belanjawan Tahun 2027 KPWKM.

Perkara ini selaras dengan hasrat bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang adalah berimpak tinggi, berorientasikan outcome dan mengambil kira keperluan sebenar kumpulan sasar.

Antara fokus utama perbincangan merangkumi perkongsian pengalaman sebenar di lapangan serta usaha mengumpul usul dan cadangan yang konkrit daripada wakil-wakil NGO dan kumpulan sasar agar bersandarkan kepada keperluan komuniti di peringkat akar umbi.

Langkah ini dijajarkan dengan matlamat kementerian untuk memastikan tiada golongan yang tercicir dan setiap ringgit peruntukan kelak benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Usaha ini mencerminkan komitmen KPWKM dalam memastikan cadangan Belanjawan 2027 KPWKM adalah lebih komprehensif, inklusif, berimpak tinggi serta memenuhi keperluan semasa rakyat.

ATAS
Accessbility Option