LENSA KPWKM

MAJLIS APRESIASI RAKAN STRATEGIK JKM

Program      1 Julai 2025      Bangi    

Majlis Apresiasi Rakan Strategik JKM 2025

1 Julai 2025

Bagi mengiktiraf sumbangan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam usaha bantuan kemanusiaan negara, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Rakan Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tahun 2025.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hari ini telah mewakili Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi merasmikan majlis tersebut yang berlangsung di Bangi Resort Hotel.

Majlis apresiasi ini telah menghimpunkan lebih 250 tetamu yang terdiri daripada ketua jabatan, agensi kerajaan, wakil kerajaan negeri serta rakan strategik JKM, dengan tujuan utama menghargai jasa dan komitmen pihak yang telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 serta beberapa insiden termasuk kejadian letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu.

Antara pengisian utama dalam majlis ini ialah penyampaian sijil dan plak penghargaan yang ditandatangani oleh YAB Timbalan Perdana Menteri kepada 30 penyumbang, termasuklah Yayasan PETRONAS, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Yayasan Sime Darby, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., dan Media Prima Berhad. Kesemua penerima diiktiraf atas sumbangan dalam bentuk kewangan, barangan keperluan harian, makanan serta perkhidmatan sepanjang tempoh bencana.

Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta serta meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya solidariti dan kesiapsiagaan dalam menangani bencana.

ATAS
Accessbility Option