LENSA KPWKM

SEMINAR PERTUBUHAN PEMULIHAN DALAM KOMUNITI (PPDK) ZON 2 2025 PERKUKUH PERANAN KOMUNITI DALAM PEMBANGUNAN OKU

Program      23 Oktober 2025      Johor    

Seminar Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Zon 2 2025 Perkukuh Peranan Komuniti Dalam Pembangunan OKU

23 Oktober 2025

Kolaborasi strategik antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan agensi berkaitan amat penting dalam memperkukuh pelaksanaan program latihan kemahiran, penempatan pekerjaan serta pemulihan menyeluruh kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, hari ini telah merasmikan Seminar Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Zon 2 Tahun 2025 di Johor Bahru.

Seminar yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini telah menghimpunkan 150 buah PPDK dari empat negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Penganjuran seminar ini juga menzahirkan komitmen kementerian untuk memperkukuh semangat kebersamaan dalam membawa agenda keterangkuman dan pembangunan golongan OKU di negara ini.

Ia menjadi wadah penting untuk peserta PPDK berkongsi maklumat, idea dan pandangan bagi memperkukuh pengurusan serta mempertingkat mutu perkhidmatan kepada komuniti OKU.

Peningkatan jumlah PDK di seluruh negara memerlukan pengurusan yang lebih sistematik, telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi KPWKM untuk memastikan setiap inisiatif kebajikan dilaksanakan secara berkesan dan mampan.

Masyarakat dan komuniti setempat turut diseru untuk menggalakkan golongan OKU mendaftar dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran, bagi membolehkan mereka menikmati 31 kemudahan dan keistimewaan yang telah disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta.

Seminar dua hari ini diharap dapat menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara semua PPDK di Zon 2, selain meningkatkan keupayaan mereka dalam memberi khidmat yang lebih berkesan kepada komuniti OKU di seluruh negara.

ATAS
Accessbility Option