LENSA KPWKM

LAWATAN YB TIMBALAN MENTERI KEPADA KELUARGA MANGSA NAHAS KEMALANGAN MELIBATKAN PELAJAR UPSI DI GERIK, PERAK (BAHAGIAN 1)

Lawatan      18 Jun 2025      Terengganu    

Lawatan YB Timbalan Menteri Kepada Keluarga Mangsa Nahas Kemalangan Melibatkan Pelajar UPSI di Gerik, Perak (Bahagian 1)

18 Jun 2025

Perjalanan ke daerah Besut, Terengganu terasa hiba apabila mengenangkan nahas kemalangan bas di Gerik, Perak yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

KPWKM turut berduka dengan kejadian ini dan sebagai simbol kebersamaan dan keprihatinan, lawatan ke rumah keluarga mangsa nahas kemalangan telah diadakan pada 18 Jun 2025 yang diketuai oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebanyak 22 buah keluarga telah diziarahi. 15 daripadanya telah kehilangan ahli keluarga tersayang berusia antara 21 -23 tahun. Sayu hati mendengar kisah-kisah mereka. Ada yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran dan menghasilkan naskhah tulisan tangannya sendiri. Kini, naskhah Al-Quran tersebut tinggal menjadi tatapan. Ada yang dikurniakan bakat melukis dan tiga lukisan yang dihasilkan memaparkan gambar bas, laluan jalan raya dan kata-kata mengenai kematian seolah-olah memberi gambaran nahas kemalangan ini. Lebih memilukan juga apabila melihat hadiah ulang tahun kelahiran daripada seorang anak kepada ibu tercinta dengan pesanan “menangis bukan tanda ibu lemah” dan hanya tinggal sebagai kenangan.

Dalam sesi ziarah ini, YB Timbalan Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menitipkan kata-kata semangat untuk mereka. Turut disampaikan sumbangan PEKA di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Bantuan Tabung Bencana Segera di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga mangsa yang terlibat.

KPWKM melalui YKN dan JKM terus memberikan sokongan dalam bentuk khidmat kaunseling dan terapi kepada waris-waris yang memerlukan dan terkesan dengan nahas ini dengan bantuan para kaunselor JKM dan pasukan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Kami sentiasa mendoakan semoga roh mangsa-mangsa nahas kemalangan bas ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Semoga ahli keluarga mangsa terus tabah mengharungi ujian ini.

Al fatihah buat kesemua 15 mangsa nahas ????

ATAS
Accessbility Option