Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited menyantuni dan membantu kumpulan sasar lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang penuh berkah ini.
Hari ini, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri KPWKM telah meraikan kumpulan sasar Kementerian menerusi Majlis Iftar Kasih Ramadan di Sarawak. Lebih bermakna lagi apabila majlis ini diserikan dengan kehadiran anak-anak institusi di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, pengiring, petugas dan ketua institusi.
Dalam ucapannya, YB Menteri turut berkongsi pelbagai program dan aktiviti yang telah diadakan oleh Jabatan dan Agensi dalam mengimarahkan bulan mulia ini yang secara langsung merupakan manifestasi KPWKM dalam mendekati kumpulan sasar.
Semasa majlis berlangsung, YB Dato Sri Hajah Nancy Shukri turut berkesempatan menyantuni dan memberikan sumbangan duit raya kepada 270 kumpulan sasar termasuk kanak-kanak, remaja, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Para tetamu yang hadir turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada Kumpulan Soutul Islah iaitu terdiri daripada pelajar Sekolah Tunas Bakti, Kuching.
Majlis ini merupakan anjuran bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan mendapat sokongan daripada rakan strategik Shapadu dan Alliance Islamic Bank.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Jabatan/Agensi KPWKM, YBrs Tuan Sofi Bin Jebal, Pegawai Daerah Kuching serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi di peringkat persekutuan dan negeri.