Bersamaan 24 Ramadan 1446H telah berlangsung Program Penghayatan Nilai-Nilai Islam (PNI) Siri 3/2025 sempena WORLD#QuranHour 1446H. Ceramah PNI Siri 3 yang bertajuk “Al-Quran: Rahmat Sekalian Alam” telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Hazri bin Hashim, Penolong Pengarah, Kementerian Pendidikan Malaysia yang diadakan di Auditorium Aras 7, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta juga penstriman langsung di Facebook Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPWKM.
Program PNI Siri 3 ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Puan Farah Adura binti Hamidi dengan diiringi YM Ungku Mariam binti Ungku Zakaria, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dengan kehadiran 102 orang warga Kementerian serta agensi di bawah KPWKM. Penyampaian ceramah pada kali ini sangat menarik dan secara santai, tetapi sarat dengan penjelasan daripada kalam Al-Quran yang berkait rapat dengan kehidupan seharian dan kisah benar masyarakat yang dapat dijadikan ibrah atau pengajaran untuk semua.
Program diteruskan dengan penyampaian penghargaan kepada dua orang warga KPWKM yang secara konsisten telah hadir ke Program Tazkirah Ramadan KPWKM yang telah diadakan sebanyak 10 siri sebelum waktu Zuhur di Surau Al-Hasanah KPWKM. Penerima penghargaan telah menerima wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang iaitu Encik Mohd Fauzi bin Azmi dari Bahagian Kolaborasi Strategik KPWKM dan Puan Rahayanti binti Basran dari Unit Audit Dalam KPWKM.