KURSUS PENGURUSAN SIASATAN INTEGRITI (KPSI) KPWKM TAHUN 2026
29-30 September 2026
Dalam usaha memperkukuh keupayaan pegawai dalam mengendalikan siasatan dalaman secara profesional, telus dan berintegriti, Unit Integriti, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Siasatan Integriti (KPSI) selama dua hari 29 hingga 30 September 2026.
Program ini menghimpunkan seramai 50 orang wakil daripada Jabatan dan Agensi di bawah KPWKM dengan pengisian yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek pengurusan siasatan integriti, kajian kes serta teknik temu bual dan rakaman pernyataan. Sesi berkenaan dikendalikan oleh pegawai dari Bahagian Kecemerlangan dan Professionalisme, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk perkongsian berkaitan pendekatan dan tatacara yang relevan dalam pengendalian sesuatu siasatan.
Peserta turut diberikan pendedahan mengenai pengurusan kes Kehilangan Wang Awam (KWA) oleh Kementerian Kewangan serta penyediaan laporan siasatan dan surat pertuduhan yang berkualiti oleh Penasihat Undang-Undang KPWKM. Pengisian ini melengkapkan peserta dengan kefahaman yang lebih menyeluruh terhadap proses siasatan daripada peringkat pengumpulan maklumat sehingga penyediaan dokumentasi berkaitan.
Pelaksanaan KPSI ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesiapsiagaan pegawai, khususnya mereka yang diberi tanggungjawab sebagai penyiasat dalaman, dalam mengendalikan kes berkaitan integriti, salah guna kuasa, penyelewengan, kehilangan aset serta aduan di Jabatan dan Agensi masing-masing secara profesional, cekap dan berakauntabiliti.