Tidak lengkap rasanya Kembara KASIH KPWKM jika tidak singgah menyantuni klien-klien Jabatan dan Agensi di sepanjang laluan kembara di negeri bawah bayu ini.
Usai Majlis Pelancaran Kembara KASIH KPWKM di Astaka Padang Tuaran, pasukan konvoi tetap bersemangat meneruskan misi Ziarah KASIH biar pun hujan lebat membasahi bumi.
Rumah pertama yang diziarahi ialah Puan Seripah @ Sarifah binti Mentawit @ Roslan yang merupakan penerima Bantuan Pesakit Terlantar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Beliau terlantar sakit disebabkan pendarahan otak sejak September 2023 dan kini beransur pulih tetapi masih memerlukan bantuan dan sokongan sepenuhnya daripada keluarga untuk menguruskan diri.
Seterusnya, kami bergerak ke rumah klien kedua iaitu Puan Gusnah binti Mat Zahir, seorang warga emas yang menghidap penyakit mental dan masalah penglihatan. Beliau pernah bekerja tetapi terpaksa diberhentikan dek kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Beliau telah menerima Bantuan Warga Emas JKM bagi menyara kehidupan.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyampaikan Bakul Makanan JKM, Kit Kesihatan LPPKN serta Sumbangan Wang Tunai YKN kepada kedua-dua klien ini. Beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada klien-klien ini dan berharap sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban yang ditanggung.