Program Pasangan Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46
26 Mei 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah turut sama terlibat dalam penganjuran Program Pasangan Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada hari ini di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Semasa program tersebut, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Isteri Perdana Menteri Malaysia telah menyambut kedatangan lima (5) Pasangan Ketua Negara ASEAN iaitu H.E. Louise Araneta-Marcos (Filipina), H.E. Le Thi Bich Tran (Viet Nam), H.E. Vandara Siphandone (Lao), H.E. Dr. Pich Chanmony Hunmanet (Cambodia) dan H.E. Lawrence Wong (Singapura).
Para delegasi telah dibawa untuk melihat pameran teksil oleh Yayasan Hasanah, demonstrasi pembuatan wau oleh adiguru wau dan demonstrasi menekat benang emas oleh adiguru tekat benang emas yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia. Delegasi juga berpeluang melakukan aktiviti mewarna batik di atas kain bercorak bunga raya. Selain itu, turut dipamerkan ialah koleksi orkid dari Perbadanan Putrajaya.
Semasa jamuan makan tengah hari, para delegasi disajikan dengan persembahan choral speaking oleh SMK Subang Utama, persembahan orkestra dari National Symphony Orchestra, Istana Budaya serta persembahan tarian oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Selangor.
Sebelum meninggalkan Kompleks Seri Perdana, para delegasi telah melawat Galeri Produk Kumpulan Sasar KPWKM yang mempamerkan produk ProWell dan Laman Wanita (LAWA).
Turut hadir bersama di Program Pasangan Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ialah YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah binti Tengku Nujumudin, Isteri Menteri Luar Negeri Malaysia dan YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM.