LENSA KPWKM

SIDANG MEDIA BELANJAWAN MADANI 2027: KPWKM PERKUKUH EKOSISTEM PERLINDUNGAN DAN PENJAGAAN DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT

Program      13 Oktober 2026      Parlimen    

Sidang Media Belanjawan MADANI 2027: KPWKM Perkukuh Ekosistem Perlindungan dan Penjagaan Demi Kesejahteraan Rakyat

13 Oktober 2026

Belanjawan 2027 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada 9 Oktober 2026 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membina masa depan Malaysia yang lebih mampan.

Seiring dengan matlamat tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengadakan Sidang Media Belanjawan MADANI 2027: KPWKM Perkukuh Ekosistem Perlindungan dan Penjagaan Demi Kesejahteraan Rakyat bagi memperincikan hala tuju serta inisiatif Kementerian dalam memperkasa masyarakat, di samping memperkukuh penyampaian perkhidmatan sosial.

Dalam sidang media tersebut, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa kesejahteraan wanita, kanak-kanak, keluarga, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta golongan rentan akan terus menjadi keutamaan KPWKM.

Bagi tahun 2027, KPWKM telah menerima peruntukan sebanyak RM4.355 bilion, merangkumi RM4.19 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM157.03 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Melalui peruntukan ini, KPWKM akan terus memperkukuh agenda pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat melalui jaringan perlindungan sosial dan ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh, inklusif dan bersepadu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Belanjawan yang diperuntukkan ini bukan sekadar disalurkan sebagai bantuan kewangan, malah merupakan pelaburan sosial untuk memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti, mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif serta membuka peluang kepada kumpulan sasar untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, berdikari dan bermaruah.

Turut sama hadir dalam sidang media ini ialah YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato' Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, Ketua Jabatan/Agensi, Pegawai-Pegawai Kanan KPWKM serta Rakan-Rakan Media.

ATAS
Accessbility Option