LENSA KPWKM

SISTEM EBANTUAN JKM MEMPERKUKUH PENYAMPAIAN BANTUAN KEBAJIKAN SECARA DIGITAL DAN MENYELURUH

Program      13 Jun 2025      Sarawak    

Sistem eBantuan JKM Memperkukuh Penyampaian Bantuan Kebajikan Secara Digital Dan Menyeluruh

13 Jun 2025

Pelaksanaan sistem eBantuan JKM di Sarawak merupakan hasil usaha berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memperkukuh penyampaian bantuan kebajikan secara digital dan menyeluruh.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam agenda pendigitalan sistem kebajikan negara.

Melalui sistem ini, segala urusan berkaitan permohonan, pengurusan dan pemantauan bantuan kewangan JKM dapat dilakukan secara lebih cekap, telus dan berintegriti.

Dengan lebih 54,000 penerima bantuan direkodkan di Sarawak setakat Mac 2025, peluasan sistem eBantuan JKM membolehkan rakyat negeri ini menerima perkhidmatan kebajikan yang lebih pantas dan telus.

Usaha ini bukan sekadar inovasi sistem, tetapi juga langkah proaktif Kerajaan ke arah memperkasa celik digital dalam kalangan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang inklusif dan progresif.

Dalam majlis ini, YB menteri menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai-pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dan menyerahkan kit keperluan asas kepada sepuluh orang penerima bantuan kebajikan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching dan Samarahan sebagai simbolik penyerahan bantuan langsung kepada golongan sasar.

Turut hadir Yang Berbahagia Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Yang Berbahagia Datuk Che Murad Sayang Bin Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Yang Berbahagia Datu Felicia Tan Ya Hua, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahtetaan Komuniti Sarawak, serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi KPWKM.

ATAS
Accessbility Option