Majlis Pelancaran Buku ‘The Foundling’ dan Program Duta Yayasan Chow Kit
15 Julai 2025
Bagi menghargai komitmen berterusan dalam membela nasib kanak-kanak yang kurang bernasib baik, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini telah hadir dan merasmikan Majlis Pelancaran Buku ‘The Foundling’ dan Program Duta Yayasan Chow Kit (YCK) yang berlangsung di Premis Yayasan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Buku “The Foundling” karya aktivis kanak-kanak terkenal, Dr. Hartini Zainudin ini mengangkat kisah benar mengenai isu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Ia merupakan luahan pengalaman peribadi dan perjuangan beliau dalam memperjuangkan nasib golongan kanak-kanak serta cabaran mereka dalam mendapatkan hak asas seperti pendidikan dan kesihatan.
Kementerian sentiasa menghargai usaha berterusan YCK dalam membela nasib kanak-kanak ini dan komited dalam memperkukuh dasar perlindungan kanak-kanak melalui kerjasama strategik bersama pertubuhan seperti YCK.
Turut berlangsung dalam majlis tersebut Pelancaran Program Duta YCK, yang merupakan satu inisiatif bertujuan membina kapasiti dan keyakinan kanak-kanak untuk menjadi pemimpin kecil yang mampu membawa perubahan dalam komuniti mereka. Program ini memberi ruang kepada suara kanak-kanak untuk diketengahkan dalam isu-isu sosial, hak asasi dan advokasi.
Selain itu, sesi perbincangan bersama Dr. Hartini dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM turut diadakan bagi membincangkan cabaran serta harapan dalam menangani isu kanak-kanak pada masa kini.
Program seumpama ini diharapkan dapat membuka mata lebih ramai pihak mengenai keperluan mendesak untuk melindungi kanak-kanak serta menyemai semangat kepimpinan dan advokasi dalam diri mereka sejak usia muda.
Majlis penuh bermakna turut dihadiri oleh YBrs. Puan Noor Fairizan Jaafar, Setiausaha Bahagian Kolaborasi Strategik KPWKM, wakil badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial serta wakil kanak-kanak dari komuniti setempat dan pegawai-pegawai Jabatan dan Agensi KPWKM.