LENSA KPWKM

PROGRAM SKUAD WAJA SISWA JOHOR 2025 PERKUKUH KESEDARAN MENANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA

Program      23 Oktober 2025      Johor    

Program Skuad Waja Siswa Johor 2025 Perkukuh Kesedaran Menangani Keganasan Terhadap Wanita

23 Oktober 2025

Isu keganasan terhadap wanita bukan perkara baharu dan perlu ditangani secara menyeluruh melalui pendidikan nilai, advokasi dan sokongan psikososial, bukan sekadar hukuman.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini telah merasmikan Program Skuad Waja Siswa Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dengan penyertaan lebih 500 pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi sekitar Johor.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) ini diadakan bertujuan untuk memperkasa pelajar universiti untuk menjadi agen perubahan dalam menangani keganasan terhadap wanita di kampus masing-masing.

Kerajaan melalui KPWKM sentiasa komited dalam memperkukuh langkah menangani gangguan seksual dengan penguatkuasaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) serta penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang membolehkan aduan dibuat dengan lebih cepat dan selamat tanpa melalui proses mahkamah yang panjang.

Program Skuad Waja Siswa merupakan peluasan kepada inisiatif Skuad Waja (Wanita Anti Jenayah) yang kini mempunyai lebih 339,000 ahli di seluruh negara, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi. Pada tahun 2025, tiga universiti iaitu UTHM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah dipilih sebagai tuan rumah utama bagi pelaksanaan program tersebut.

ATAS
Accessbility Option