Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2025 Masihi di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur dengan menghantar seramai 50 orang kakitangan sebagai kontinjen rasmi kementerian.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen KPWKM dalam memperkukuh nilai-nilai keislaman serta menjunjung tinggi semangat perpaduan dan kerohanian dalam kalangan warga kerja. Kontinjen KPWKM diketuai oleh Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), dan turut disertai oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP, KPWKM).
Tema sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini, “Membangun Ummah MADANI”, membawa aspirasi besar dalam membentuk sebuah masyarakat yang berteraskan ilmu, akhlak, rahmah dan keadilan. Konsep Ummah MADANI menekankan pembinaan masyarakat yang sejahtera, bersifat penyayang, berdaya tahan serta berperanan aktif dalam menyumbang kepada pembangunan negara berlandaskan nilai Islam yang menyeluruh dan inklusif.
Penyertaan KPWKM dalam sambutan ini bukan sahaja sebagai tanda sokongan kepada agenda nasional, malah sebagai manifestasi kepada iltizam kementerian dalam menerapkan nilai-nilai murni Islam dalam dasar serta perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat. Ia juga mencerminkan usaha berterusan KPWKM dalam memperkasa institusi keluarga, membela hak wanita, melindungi kanak-kanak dan menyantuni golongan rentan dengan penuh tanggungjawab dan beretika.