Program Pasangan Kepada Ketua-ketua Negara Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
Malaysia memperkukuh semangat ASEAN sebagai satu keluarga melalui pelaksanaan Program Pasangan Kepada Ketua-ketua Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Program yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), selaras dengan mandatnya untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, kesejahteraan sosial dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat ini bukanlah sekadar acara sosial yang mengiringi mesyuarat rasmi para pemimpin, tetapi merupakan platform penting diplomasi tidak formal yang memperkukuh hubungan kemanusiaan antara negara-negara ASEAN.
Turut menggembleng tenaga dalam melaksanakan program yang diadakan di Seri Negara, Kuala Lumpur ini adalah Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Khazanah Nasional Berhad serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Program Pasangan telah dihoskan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan dihadiri oleh sembilan (9) pasangan kepada Ketua-Ketua Negara yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan.
Antara pengisian program ialah lawatan serta demonstrasi kebaya bertemakan ASEAN Shared Intangible Cultural Heritage yang telah disenaraikan di UNESCO serta jenis-jenis kebaya Malaysia, tayangan video konservasi Seri Negara dan Bengkel Terrarium. Program diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang menyajikan sajian istimewa Malaysia.
Program tersebut turut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YM Raja Datin Seri Dato’ Hajah Salbiah Binti Tengku Nujumudin, Isteri Menteri Luar Negeri.
KPWKM sebagai peneraju program mengambil peluang ini untuk mengetengahkan sumbangan wanita dalam diplomasi dan pembinaan masyarakat ASEAN yang inklusif. Melalui penglibatan wanita dalam seni dan kraftangan, program ini menonjolkan peranan wanita sebagai ejen perpaduan, budaya dan kemanusiaan. Ia sejajar dengan aspirasi Malaysia amnya dan KPWKM (khususnya) untuk memartabatkan wanita bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di arena serantau.