LENSA KPWKM

PROGRAM SANTUNI KASIH KPWKM 2026: MENYANTUNI RAKYAT, MENJULANG ASPIRASI MALAYSIA MADANI

Program      31 Oktober 2026      Sarawak    

Program Santuni Kasih KPWKM 2026: Menyantuni Rakyat, Menjulang Aspirasi Malaysia MADANI

31 Oktober 2026

Semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat diterjemahkan menerusi Program Santuni KASIH KPWKM 2026 yang membawa perkhidmatan Kementerian lebih dekat kepada masyarakat. Memasuki hari kedua, program yang berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sekali gus memperkukuh komitmen KPWKM untuk menyantuni dan memenuhi keperluan kumpulan sasar berteraskan nilai ihsan.

Menghimpunkan Jabatan dan Agensi di bawah KPWKM, program ini memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat bantuan kebajikan, khidmat nasihat kekeluargaan, peluang pemerkasaan wanita serta perkhidmatan kaunseling secara langsung. Penyediaan pelbagai perkhidmatan di satu lokasi mencerminkan usaha Kerajaan untuk memastikan rakyat memperoleh maklumat dan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa keberkesanan sesuatu program diukur melalui manfaat sebenar yang diterima rakyat. Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, KPWKM terus memperkukuh akses kepada bantuan, perlindungan sosial, peluang menjana pendapatan dan perkhidmatan penjagaan agar wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya serta keluarga yang memerlukan mendapat sokongan sewajarnya.

Majlis turut menyaksikan Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026 bertemakan “Kaunseling Era Digital: Memacu Kesejahteraan”, dengan penyertaan hampir 150 kaunselor berdaftar dari seluruh negara. YB Menteri turut melancarkan buku panduan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), Technology-Integrated Counselling: A Malaysian Guide to Ethical, Safe and Effective Practice, sebagai rujukan untuk mengintegrasikan teknologi dalam perkhidmatan kaunseling secara beretika, selamat dan berkesan, seiring dengan nilai daya cipta bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir YBhg. Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg Dato’ Ruziah Haji Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri.

ATAS
Accessbility Option