Program Perasmian Forum Kemanusiaan Bulan Sabit Merah Malaysia Dengan Kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah Dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC)
22 September 2025
YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Kemanusiaan Bulan Sabit Merah Malaysia dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) serta Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bertempat di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral.
Forum ini berperanan sebagai sebuah platform penting bagi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bersama seluruh komponen Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, termasuk IFRC dan ICRC, dalam memperkukuh peranan serta komitmen mereka terhadap agenda kemanusiaan di rantau Asia Tenggara, selaras dengan kepengerusian ASEAN pada tahun ini.
Kolaborasi strategik antara BSMM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah lama terjalin, khususnya dalam pengurusan bencana melalui kerjasama erat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi memastikan golongan yang memerlukan menerima bantuan sewajarnya.
KPWKM sentiasa menyokong penuh usaha ini dalam membina sinergi ke arah pembentukan komuniti serantau yang lebih bersedia, penyayang dan bersatu padu dalam menghadapi cabaran kemanusiaan.