LENSA KPWKM

PROGRAM ADVOKASI PERLINDUNGAN KANAK-KANAK KASIH KANAK-KANAK PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2025

Program      25 Oktober 2025      Johor    

Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Johor 2025

25 Oktober 2025

KPWKM sentiasa komited dalam usaha advokasi perlindungan kanak-kanak sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk mencegah penderaan fizikal, emosi, seksual, pengabaian serta eksploitasi kanak-kanak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini telah merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Negeri Johor 2025 yang diadakan di SK Kg. Dato Ibrahim Majid, Simpang Renggam Johor.

Program anjuran KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini bertujuan menggerakkan seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru dan komuniti setempat agar bersama-sama memastikan kebajikan, keselamatan dan perkembangan kanak-kanak sentiasa terpelihara.

Advokasi ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu gerakan nasional untuk memastikan suara kanak-kanak didengari, hak mereka dihormati dan kesejahteraan mereka dilindungi.

Sejak pelaksanaan program advokasi ini pada tahun 2023, sebanyak 399 sekolah di seluruh negara telah terlibat, melebihi sasaran 300 buah sekolah yang ditetapkan bagi tahun 2025, sekali gus mencapai kadar pencapaian 133%.

Program Kasih Kanak-Kanak ini juga diharap dapat memperkukuh perlindungan kanak-kanak, sekali gus memastikan setiap anak di Malaysia menikmati persekitaran yang selamat, sejahtera dan membina masa depan yang lebih cerah.

Masyarakat diseru agar tidak berdiam diri dalam menangani isu penderaan kanak-kanak dan segera membuat laporan melalui Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615999 atau aplikasi mudah alih Talian Kasih bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan.

ATAS
Accessbility Option