KPWKM Perkukuh Kerjasama Serantau Dalam Agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN Manila
6- 8 Oktober 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkukuh pelaksanaan agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan (Women, Peace and Security – WPS) menerusi penyertaan dalam ASEAN Conference on Women, Peace and Security yang berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2026 di Manila, Filipina.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Puan Salwana binti Tan Sri Dato’ Mahmood, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Kesejahteraan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama wakil dari Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan KPWKM.
Persidangan ini menjadi platform perkongsian pengalaman dan amalan terbaik negara-negara ASEAN dalam memperkukuh pelaksanaan agenda WPS, termasuk penyertaan bermakna wanita dalam proses keamanan, pengukuhan kerjasama antara agensi serta penglibatan komuniti dan organisasi masyarakat sivil.
Dalam sesi perkongsian itu, Malaysia mengetengahkan perkembangan awal pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional WPS setahun selepas pelancarannya pada Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (ASEAN WPS Summit 2025) yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.
Perbincangan turut memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh penyelarasan antara agensi, meningkatkan kesedaran dalam kalangan pihak berkepentingan dan memastikan pelaksanaan dasar diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang boleh diukur.
Antara amalan yang diketengahkan ialah inisiatif Filipina membangunkan papan pemuka digital bagi menyelaras maklumat program, peruntukan dan indikator pelaksanaan WPS. Pendekatan ini turut membuka ruang untuk Malaysia meneliti kaedah pemantauan bersepadu yang bersesuaian bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar.
Persidangan tersebut turut menekankan kepentingan penglibatan wanita di peringkat akar umbi, termasuk wanita masyarakat pribumi dan belia dalam proses membuat keputusan. Isu keganasan berasaskan gender dalam talian serta keperluan memperkukuh pembiayaan dan kerjasama rentas sektor turut menjadi antara perkara yang diberikan perhatian.
Penyertaan ini diharap dapat memperkukuh pertukaran pengetahuan dan kerjasama serantau, di samping menyokong usaha Malaysia mempertingkat pelaksanaan agenda WPS secara lebih terselaras, inklusif dan berkesan.